top of page
marcom401

Berjaya hafal Quran sejak usia 15 tahun


PADA usia 15 tahun, Alisyah Doad Abdul Rasheed Doad telah pun menghafal seluruh Al-Quran dan kini sedang berusaha memperbaiki lagi hafalannnya di Darul Quran Singapura Masjid Kampung Siglap (DQSMKS).


Pelajar menengah tiga itu mula menghafal Al-Quran ketika berumur tujuh tahun, bersama-sama abangnya yang berusia setahun lebih tua dan adik perempuannya yang berusia setahun lebih muda.


Ketiga-tiga mereka telah pun selesai menghafal kitab suci itu dan kini bersama-sama mengulang kaji hafalan mereka di DQSMKS.


Alisyah berkata, dia dan adik-beradiknya disuruh mengikuti program tahfiz oleh bapa mereka dan walaupun pada mulanya dia sekadar mengikut arahan bapanya, lama kelamaan, dia suka membaca Al-Quran dan memahami maknanya.


"Bapa saya kata menghafal Al-Quran akan membawa banyak manfaat kepada kami," kata anak kedua dalam keluarga lima beradik itu.

Pada waktu itu, keluarganya berada di Malaysia, dan bapanya telah membuka sebuah madrasah dan mendapatkan guru-guru untuk mengajar Alisyah dan adik-beradiknya menghafal Al-Quran dan mata pelajaran lain.


Sekolah itu bernama The Sunnah School dan terletak di Setia Alam di Selangor.


Alisyah berkata, ustazah yang membimbingnya dalam hafalan Al-Quran akan memintanya menghafal sekurang-kurangnya tiga muka surat sehari.


Setelah diberitahu tentang nombor muka surat untuk dihafal, Alisyah akan menulis setiap ayat dalam tiga muka surat itu dalam sebuah buku nota sebelum mula menghafalnya.


"Dengan menulis, kami akan dapat menghafal ayat-ayat itu dengan lebih mudah," kata Alisyah.

Kemudian setiap hari, dia akan bangun seawal 5 pagi untuk membaca dan menghafal satu setengah muka surat dalam masa satu jam setengah.


Di sekolah, dia akan membaca ayat-ayat yang telah dihafal itu kepada ustazahnya.

Kemudian dia menghafal baki satu setengah muka surat dan membacanya kepada ustazahnya sebelum pulang dari sekolah.


"Ia sangat sukar bagi saya. Kebolehan menghafal satu setengah muka surat dalam masa satu jam setengah itu pun saya capai setelah sekitar satu tahun cuba menghafal. Sebelum itu saya mengambil masa yang lebih lama untuk menghafal," kata remaja kacukan India dan Cina itu.

Alisyah mengambil masa tiga tahun untuk menghafal seluruh Al-Quran dan mengulang kaji hafalannya selama tiga tahun lagi.


Keluarganya kembali ke Singapura pada Mac 2020 dan pertengahan tahun lalu, Alisyah mendaftar bagi program tahfiz di DQSMKS.


Dia berharap dapat memperhalusi lagi bacaannya dan mengingati kembali apa yang telah dihafalnya dahulu supaya dia tidak lupakan ayat-ayat Al-Quran itu.


32 views0 comments

Comments


bottom of page