top of page

30 hafal Quran sejak Darul Quran ditubuhkan




SEKITAR 30 huffaz, atau penghafal Al-Quran, telah dilahirkan oleh pusat tahfiz Darul Quran Singapura Masjid Kampung Siglap (DQSMKS) sejak ia ditubuhkan pada 1998.


Mereka terdiri daripada penuntut berusia 10 tahun hingga 40 tahun dengan kebanyakan mereka merupakan pelajar madrasah sepenuh masa.


Mereka mengambil masa antara dua dengan 10 tahun untuk selesai mengikuti program menghafal Al-Quran itu.


Beberapa lulusan tahfiz itu kini bergelar asatizah di Masjid Kampung Siglap atau institusi agama lain.


Sebahagian mereka pula menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan ada juga yang meneruskan pekerjaan dalam bidang masing-masing.


Menurut DQSMKS, tempoh yang diambil untuk menyelesaikan program itu adalah sesuatu yang subjektif kerana setiap individu mempunyai pendekatan dan latar belakang yang berbeza.


"Dalam menentukan jangka masa pengajian, perlu untuk mengambil kira berapa banyak luangkan masa yang dapat ditumpukan khas untuk mengulangkaji dan menghafal lebih-lebih lagi jika pelajar tersebut mempunyai komitmen pengajian atau pekerjaan sepenuh masa," kata Pengerusi Eksekutif Masjid Kampung Siglap, Encik Azman Mohd Ariffin.

DQSMKS adalah sebuah institusi yang memberi tumpuan kepada pengajian Al-Quran dan berperanan sebagai wadah utama bagi masyarakat Islam di Singapura untuk menjangkau ilmu Al-Quran lain.


Ia bermula dengan penubuhan Pusat Tahfiz Singapura (PTS) di Masjid Kampung Siglap dan dinamakan sebagai DQSMKS setelah mempunyai bangunan sendiri pada 2005.


DQSMKS mempunyai sekitar 15 asatizah bagi program tahfiz yang ia jalankan dengan tenaga utamanya terdiri daripada asatizah sepenuh masa Masjid Kampung Siglap.


Encik Azman berkata pelajarnya terdiri daripada mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang berbeza, seperti mereka yang telah dipupuk minat sejak kecil seawal tujuh tahun kepada mereka yang menceburi selepas mendapat inspirasi daripada guru, kenalan, atau ahli keluarga.


Bagi memudahkan pelajar mengikuti program tahfiz yang ditawarkan, DQSMKS telah bekerjasama dengan masjid setempat untuk membolehkan pelajar mengikuti program tersebut di masjid yang dekat dengan tempat tinggal mereka tanpa perlu ke Masjid Kampung Siglap.


Selain itu, DQSMKS bukan sahaja melahirkan huffaz tetapi turut menyediakan pengajian lain yang berkaitan dengan ilmu-ilmu Al-Quran.


Antara lain, ia menawarkan program yang melengkapi individu sebelum menjadi guru Al-Quran.


"Dengan itu, DQSMKS berperanan bukan hanya melahirkan huffaz, tetapi huffaz yang mempunyai kualiti dari sudut kesepaduan ilmu yang lain," kata Encik Azman.

Source: https://www.beritaharian.sg/setempat/30-hafal-quran-sejak-darul-quran-ditubuhkan

10 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page