top of page

Jurnal Jeelun Qurani
(Jil. 1/2019)

Cover Page Jurnal Jeelun Qurani

Jurnal Jeelun Qurani jilid pertama ini adalah sebuah Jurnal berwasit. Kompilasi kertas kajian ini ditulis oleh para pegawai yang menguruskan program-program al-Quran tertentu di Darul Quran Singapura.

 

Beberapa pensyarah bidang ulum al-Quran tempatan dan daripada university di Malaysia yang menjalin kerjasama dengan DQS turut menyumbang kajian mereka. Jurnal ini menggambarkan aktiviti pendidikan dan kajian al-Quran yang dijalankan di DQS. 

 

Kami berharap usaha ini dapat menyemarakkan lagi semangat membaca dan mengkaji al-Quran serta membangkitkan jiwa penulisan dalam kalangan masyarakat Singapura terutamanya asatizah di Singapura.

Image by Faruk Kaymak

Isu Sanad Dalam Pengajian Qira’at Di Darul Quran Singapura (DQS)

Sakinah Saptu

Artikel ini membincangkan tentang Darul Quran Singapura (DQS) dan isu sanad dalam pengajian Qira’at di institusi tersebut. Perbincangan ini diketengahkan lantaran permasalahan memberikan sanad kepada individu yang tidak mahir dalam bacaan al-Quran. Berikutan dari isu tersebut, terdapat di kalangan pelajar mengikuti pengajian al-Quran dengan tujuan untuk mengumpul sanad dan berbangga dengannya.

 

Justeru timbul persoalan, bagaimana DQS memastikan permasalahan tersebut tidak berlaku dalam pengajiannya dan apakah pula faktor aplikasi sanad dalam pengajian Qira’at di DQS? Oleh itu, artikel ini dihasilkan bagi mengenal pasti pelaksanaan dan faktor aplikasi sanad dalam pengajian Qira’at di Darul Quran Singapura (DQS). Kajian berbentuk kualitatif ini dijalankan menggunakan pendekatan dokumentasi.

 

Data dikumpul menerusi analisis dokumen, temu bual separa struktur dan observasi penyertaan tanpa kawalan. Data pula dianalisis secara deskriptif dan tematik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga faktor aplikasi sanad di DQS, iaitu: mengekalkan silsilah sanad, meneruskan tradisi pembelajaran ulama terdahulu dan melahirkan tenaga pengajar bersanad di Singapura. Dapatan tersebut sekaligus menunjukkan bahawa, isu yang ditimbulkan dalam artikel ini dapat dibendung menerusi tindakan DQS melantik guru bersanad di kalangan pakar al-Quran. Selain dari itu, ia juga dapat diatasi dengan mengambil pelajar yang mahir dalam pembacaan al-Quran dan mengaplikasi kaedah al-Sama’ dan al-‘Ard dalam pengajian.

Analisis Kaedah Rasm Uthmani Menurut Pandangan Abu Dawud Sulaiman Ibn Najah Dalam Mashaf Singapura 1869: Surah Al-Naba’

Rasm Uthmani adalah penulisan piawai untuk penulisan al-Quran sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Penulisan ini tidak berubah sehinggalah ke hari ini. Tidak seperti Rasm Imla’ie, yang juga dikenali sebagai Rasm Qiyasi, ia ditulis berdasarkan sebutan Arab, lantas ia tidak boleh digunakan sebagai tulisan al-Quran atas sebab-sebab tertentu.

 

Kajian ini bertujuan untuk menyediakan analisis penulisan al-Quran, khusus surah al-Naba, Mashaf Singapura 1869. Kajian berbentuk kualitatif ini berdasarkan penulisan-penulisan berkaitan. Bahkan, analisis dan perbandingan dijalankan antara penulisan Rasm Uthmani dan Rasm Imla’ie. Pandangan Abu Dawud Sulaimain ibn Najah, seorang ulama terkenal dalam bidang Rasm, telah dijadikan sebagai asas rujukan utama dalam kajian ini sebagai penentuan perkataan-perkataan yang Uthmani ataupun tidak.

 

Hasil dapatan dalam kajian ini membuktikan bahawa Mashaf Singapura 1869 mengandungi percampuran antara kedua-dua penulisan Uthmani dan Imla’ie.

 

Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan bahawa Rasm Uthmani tidak digunakan sepenuhnya dalam penulisan Mashaf Singapura 1869.

Nur Muslimah Imam Fakeh

Perbezaan Rasm Dan Dhobt Pada Penulisan Huruf Hamzah Dalam Rasm Uthmani

Abd Rahman Abd Ghani

Kaedah penulisan huruf Hamzah merupakan salah satu dari enam kaedah penulisan Rasm Uthmani mengikut pandangan jumhur ulama. Ia sangat perlu difahami dengan sebaiknya oleh semua agar tidak disalah anggap dan disamakan dengan kaedah perletakan dhobt.

 

Selain untuk membezakan antara keduanya, kajian ini juga bertujuan untuk merungkaikan permasalahan masyarakat yang kurang memahami mengenai perbezaan antara rasm dan dhobt dalam penulisan huruf Hamzah.

 

Kajian ini menggunakan sepenuhnya metode kualitatif iaitu dengan mendapatkan dan menganalisis buku-buku daripada sumber-sumber primer dan sekunder yang berkaitan dengan rasm dan dhobt al-Quran.

 

Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang begitu ketara antara rasm dan dhobt pada huruf Hamzah ini dan ia sememangnya boleh menimbulkan keraguan dalam memahaminya. Artikal ini akan dapat menjelaskan kepada masyarat mengenai kaedah sebenar penulisan huruf Hamzah dalam Rasm Uthmani dan seterusnya mereka akan dapat membezakan antara rasm dan dhobt huruf Hamzah yang sebenar.

Isu-Isu Sosio-Agama Dalam Khutbah Ahmad Sonhadji Mohamad Tahun 1971-1980

Mohamed Qusairy Thaha
Wan Nasyrudin bin Wan Abdullah

Ahmad Sonhadji Mohamad adalah figura tafsir di Singapura. Melalui Tafsir ‘Abr al-Athir yang telah dihasilkan selama 24 tahun, beliau telah memperoleh sambutan dan respon yang sangat luar biasa di kalangan masyarakat Singapura. Bahkan beliau dianggap sebagai ikon tafsir Singapura. Sumbangan luar biasa beliau tidak terhenti kepada pengajaran dan penulisan tafsir sahaja bahkan terdapat karya-karya lain yang dihasilkan.

 

Persoalannya adalah mengapa karya-karya beliau yang lain kurang diberikan perhatian oleh pengkaji. Selain karya agung beliau bertajuk Tafsir ‘Abr al-Athir, terdapat sekurang-kurangnya 112 koleksi manuskrip khutbah Jawi yang dihasilkan dari tahun 1971 hingga 1980 dan disampaikan di Singapura. Kesemua manuskrip ini masih utuh dalam simpanan Arkib Perbadanan Perpustakaan Singapura (NLB) dan dalam simpanan ahli keluarga Ustaz Ahmad Sonhadji. Bermula dengan proses transliterasi, khutbah ini kemudian diklasifikasikan mengikut kesesuaian tema.

 

Kajian ini berbentuk kualitatif yang menggunakan pendekatan analisis kandungan teks. Data-data dikumpul secara analisis teks, kemudian dianalisis secara induktif, komparatif dan subjektif. Kajian ini menganalisis isu-isu sosio-agama yang terdapat dalam manuskrip khutbah Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad dan membuktikan bahawa terdapat usaha memberikan tafsiran al-Quran sesuai dengan konteks sosio-agama di Singapura.

 

Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat empat isu sosio-agama iaitu Al-Quran dan Hubungan dengan Tuhan, Ekonomi, Kerjaya dan Pendidikan, Adab, Etika dan Integriti dan Wanita, Kekeluargaan, Kemanusiaan dan Kemasyarakatan yang diangkat oleh Ustaz Ahmad Sonhadji dalam khutbahnya. Kertas kerja ini hanya akan membincangkan isu-isu dalam tema al-Quran dan hubungan dengan Tuhan sahaja.

 

Gagasan idea dan panduan yang disampaikan melalui khutbah beliau khususnya aspek ekonomi, kerjaya dan pendidikan telah membantu masyarakat Singapura melalui cabaran kehidupan dengan bijak, tabah dan berdaya tahan. Ia masih relevan untuk dijadikan sebagai panduan masyarakat semasa dalam menanggapi isu-isu sosio-agama.

 

Implikasi yang diharapkan adalah agar manuskrip khutbah ini dicetak semula dalam bentuk karya agung yang menjadi bahan rujukan khatib, pengkaji sosial dan masyarakat umum. Ia juga membuktikan bahawa Ustaz Ahmad Sonhadji bukan sahaja dikenali sebagai seorang mufasssir al-Quran di kawasan Nusantara, bahkan boleh diangkat sebagai seorang reformis sosial yang mencadangkan jalan keluar bagi permasalahan yang dihadapi masyarakat Singapura.

Metodologi Penulisan Dan Syarahan Matn Al-Taiyyibah: Tumpuan Terhadap Kitab Al-Hadi

Sabri Mohamad
Hamdi Ishak
Mohd Faizulamri Mohd Saad

Matn al-Taiyyibah adalah karya agung Imam Ibn al-Jazari yang telah memudahkan Pengajian Qira’at Sepuluh. Telah banyak karya yang mensyarahkannya dan menerangkan maksudnya melalui pelbagai metodologi, antaranya Kitab al-Hadi, karangan al-Marhum Dr Muhammad Salim Muhaysin yang terbit di waktu penulisan karya Qira’at Sepuluh agak terhad dan jarang diberi tumpuan oleh ulama’.

 

Karya besar tersebut antaranya memberi penumpuan kepada penyataan sebab atau illah sesuatu bacaan Qira’at dan penghujahannya melalui pendekatan-pendekatan penulisannya yang tersendiri.

 

Sehubungan itu, artikel ini akan membicarakan dan menonjolkan metodologi penulisan kitab tersebut dengan lebih terperinci dan tuntas. Penghasilan artikel banyak bergantung kepada kajian perpustakaan dan juga temu bual.

 

Dapatan penulisan menunjukan bahawa antara kelebihan kitab tersebut ialah melalui persembahan, penjelasan dan penghuraian yang mudah difahami dan ringkas tetapi padat. Kelebihan tersebut agak jarang terdapat pada kebanyakan kitab syarah al-Taiyyibah terdahulu yang terkadang agak sukar pemahamannya.

Perkembangan Skim Pengiktirafan Asatizah (Ars) Dalam Kalangan Guru-Guru Al-Quran Di Singapura

Agama merupakan paksi yang memperkukuh identiti sesuatu bangsa dan juga negara. Melihat akan keprihatinan masyarakat terhadap agama dan pendidikan al-Quran, setiap asatizah dan guru-guru al-Quran perlu memastikan kredibiliti mereka terpelihara di samping menyampaikan kebaikan kepada masyarakat setempat.

 

Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) bagi guru-guru al-Quran adalah wadah penting bagi memanifestasikan garis panduan dan kaedah pengajian al-Quran dalam mendidik dan membimbing masyarakat ke arah penghayatan Islam yang sahih dan holistik. Pelaksanaan latihan peningkatan diri bagi guru-guru al-Quran adalah usaha yang sangat wajar agar para pendidik dilengkapi dengan kebolehan yang sesuai, progresif dan berdaya saing.

 

Artikel ini bertujuan untuk meninjau sejarah Skim Pengiktirafan Guru-Guru Al-Quran dan perkembangannya di Singapura serta maklum balas daripada para asatizah dan guru-guru al-Quran setempat. Artikel ini juga menggunakan sepenuhnya metode kualitatif dengan menganalisis dokumen-dokumen daripada pihak MUIS, PERGAS & DQS sejak tahun 2009-2018.

 

Hasil analisa menunjukkan bahawa skim tersebut ternyata efektif dan memberi manfaat buat para asatizah, guru-guru al-Quran dan masyarakat di Singapura.

Marghfirah Mohamed Mokhtar

Pelaksanaan Program Cendekiawan Muda Tahfiz & Tadabbur (A*YTTS) Dalam Kalangan Pelajar Madrasah Singapura

Sejak tahun 2016, Darul Quran Singapura telah menawarkan program baharu yang digelar Cendekiawan Muda Tahfiz & Tadabbur (A*YTTS) kepada dua buah madrasah di Singapura. Di samping mereka perlu menjalani persekolahan harian mereka seperti biasa, pelajar-pelajar madrasah ini turut menyahut cabaran untuk menghafal al-Quran di luar waktu pembelajaran.

 

Kertas kerja ini dilakukan dengan tujuan untuk meninjau sejarah dan perkembangan pelaksanaan program A*YTTS dalam kalangan pelajar madrasah Singapura. Selain itu, penulis juga akan menganalisis pencapaian target hafalan para pelajar serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh tenaga pengajar mereka. Kajian berbentuk kualitatif ini turut menggunakan pendekatan analisis dokumen, observasi dan soal selidik yang melibatkan responden di kalangan tenaga pengajar A*YTTS.

 

Dapatan kajian menunjukkan bahawa pencapaian para pelajar masih berada pada tahap yang seimbang walaupun terdapat beberapa faktor seperti masa, kemampuan dan minat yang menjadi penghalang kepada mereka untuk menghafal al-Quran dengan baik. Implikasi kajian merumuskan bahawa program A*YTTS ini memerlukan kepada perubahan yang kecil antaranya adalah dari segi penambahan waktu pembelajaran dan penyusunan semula sukatan hafalan mereka.

 

Di akhir kajian, penulis mengemukakan beberapa cadangan dan saranan yang menyentuh berkaitan dengan program A*YTTS dan pengajian tahfiz secara amnya.

Noor’atiqah Ibrahim

Pelaksanaan Musabaqah Tahfiz Al-Quran ‘Jeelun Qurani’ Di Darul Quran Singapura (DQS)

Menghafal al-Quran di Singapura semakin mendapat perhatian oleh Masyarakat Islam setempat. Darul Quran Singapura mengambil langkah yang positif dengan mengadakan acara musabaqah tahfiz Al Quran yang dinamakan Musabaqah Tahfiz Jeelun Qurani bagi menilai kualiti hafalan para huffaz setempat.

 

Artikel ini bertujuan mengkaji pelaksanaan musabaqah tahfiz Jeelun Qurani. Kajian berbentuk kualitatif yang menggunakan kaedah observasi, pengumpulan data laporan yang diperolehi daripada statistik tahunan serta temu bual daripada beberapa individu.

 

Dapatan kajian menunjukkan kualiti hafalan mereka terjaga terutama dari segi tajwid dan kelancaran walaupun mereka ini hanyalah pelajar tahfiz separuh masa.

Khairunnisa Mohamed Rahim

bottom of page