Tazkirah Ringkas : Sifat Ithar

Sifat Ithar

 

Salah satu kehebatan peribadi yang amat sukar dimiliki oleh masyarakat kita pada hari ini ialah sifat ithar. Apakah yang dimaksudkan dengan sifat ithar tersebut? Ithar bermaksud mendahulukan hajat orang lain mendahului dirinya sendiri. Ia adalah tingkatan ukhwah yang tertinggi yang perlu kita tanamkan dalam jiwa kita. Contohnya seorang ibu atau ayah sanggup menahan lapar dan dahaga demi menghilangkan lapar dan dahaga anaknya terlebih dahulu. Itulah yang dinamakan sifat ithar.

Dalam erti kata lain, ithar bermaksud gaya hidup masyarakat yang tolong-menolong, bantu membantu, bertimbang rasa, menghormati, bersimpati, pemurah kepada golongan yang memerlukan pertolongan atau berada dalam keadaan kesempitan dan kesusahan. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

 

Perhatikanlah sifat ithar yang ditunjukkan oleh para sahabat r.a di dalam sejarah Islam terdahulu. Contohnya, saidina Ali sanggup mengambil tempat tidur Rasulullah s.a.w dan tidur di atas katil baginda ketika baginda hendak berhijrah ke Madinah, sedangkan beliau tahu rancangan kaum musyrikin ingin membunuh baginda pada malam itu. Selain dari itu, sifat ini juga turut ditunjukkan oleh kaum Ansar di Madinah ketika mereka menyambut kedatangan kaum Muhajirin yang berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Mereka melayan dengan baik serta melebihkan kaum Muhajirin lebih daripada diri mereka sendiri. Inilah sifat ithar yang perlu kita ikuti dan contohi.

 

Allah SWT memuji kaum Ansar menerusi firmannya yang bermaksud:

”Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.”

(Surah Al-Hasyr ayat 9)

 

Manakala lawan kepada sifat ini ialah sifat pentingkan diri. Ia membawa maksud mendahulukan diri sendiri tanpa menghiraukan keperluan dan perasaan orang lain. Ia adalah merupakan satu penyakit dan sifat buruk yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita. Oleh itu, marilah kita menerapkan sifat ithar ini dalam diri kita serta mengelakkan diri daripada sifat pentingkan diri sendiri kerana ia bertentangan dengan maksud ukhwah yang diajar oleh islam. Wallahua’alam.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 18 Ogos 2017/ 25 Zulkaedah 1438H