Tazkirah Ringkas: Pintu Taubat Masih Terbuka

PINTU TAUBAT MASIH TERBUKA

 

Rasulullah saw pernah bersabda dalam sebuah hadis yang berbunyi:

 

” إن الله يقبل توبة عبده ما لم يغرغر ”

 

Terjemahan Hadis:

“Sesungguhnya Allah menerima taubat hambaNya selama nyawanya belum sampai ke kerongkong”

(Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi)

 

Rahmat Allah SWT amat luas dan meliputi segala perkara, salah satunya ialah Allah sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya selama mana nyawa seseorang itu belum sampai ke kerongkong. Terlalu banyak ruang dan waktu yang Allah berikan kepada kita, namun masih ramai yang leka untuk mengambil peluang ini. Begitu juga terdapat segelintir manusia berputus asa untuk memohon keampunan kepadaNya lantaran dosanya yang terlalu besar sehingga mereka menyangka bahawa Allah tidak akan sesekali mangampunkan dosa-dosanya, sedangkan Allah SWT pernah berfirman dalam surah Az-Zumar ayat 53 yang berbunyi:

 

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

Subhanallah! betapa hebatnya keampunan yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya yang ingin bertaubat, dengan syarat insan itu menyesali kesilapannya, bersungguh-sungguh memohon kempunan dengan ikhlas serta berazam tidak akan mengulanginya. Sekiranya ditunaikan segala syarat-syarat tersebut, InsyaAllah, ia pasti akan meraih keampunanNya. Ini ditambah lagi dengan kisah seorang sahabat yang telah melakukan dosa besar dan benar-benar bertaubat, sehingga meminta agar Nabi menjalankan hukuman hudud ke atasnya, maka setelah hukuman hudud dijatuhkan, baginda saw bersabda:

 

“Sungguh dia (Maa’iz) telah bertaubat. Seandainya taubatnya dibahagikan kepada kepada 70 orang penduduk ahli Madinah, nescaya akan mencukupi.”  (Hadis Riwayat Imam Muslim)

 

Begitulah hebatnya taubat beliau kepada Allah SWT sehingga menyamai taubat puluhan manusia di Madinah . Wallahua’lam

 

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 30 Disember 2016 / 30 Rabiulawal 1438H