Tazkirah Ringkas : Perintah Mentadabbur Al-Quran

 

PERINTAH MENTADABBUR AL-QURAN

 

Jika dimbas kembali tazkirah-tazkirah yang lalu, terdapat banyak kelebihan dan ganjaran yang akan dikurniakan kepada orang-orang yang membaca Al-Quran, namun persoalannya, adakah kita hanya menjadikan Al-Quran itu sebagai bahan bacaan semata-mata? Sedangkan Al-Quran itu bukan hanya sekadar untuk dibaca, malah kita diperintahkan oleh Allah SWT supaya mentadabbur segala isi kandungan yang terdapat di dalamnya. Allah SWT berfirman:

 

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya:

(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran?)

(Surah Muhammad ayat 24)

 

Menerusi ayat di atas, kita diperintahkan supaya mentadabbur Al-Quran dengan memahami, memikirkan serta menghayati makna yang tersurat dan tersirat disebalik ayat-ayat yang dibaca supaya ianya dapat memberi kesan ke dalam hati, seterusnya dapat menambahkan lagi kekhusyukkan kita di dalam membacanya.

 

Jika dilihat, nabi saw pernah suatu ketika membaca al-Quran lalu menangis, terkadang sepanjang malam baginda menangis kerana terlalu khusyuk mentadabbur serta memikirkan ayat-ayat yang dibacanya. Baginda membacanya dengan mengulang-ulangi ayat yang sama sehingga menjelang waktu Subuh. Contohnya Sayyidah ‘Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau berkata:

 

“Apabila telah turun ayat ini kepada Nabi, baginda sembahyang. Bilal datang mengumandangkan azan. Beliau melihat Rasulullah s.a.w menangis. Beliau bertanya, “ Wahai Rasulullah! Mengapa engkau menangis sedangkan Allah telah mengampuni segala dosamu yang telah lalu dan akan datang. Baginda bersabda, “Wahai Bilal! Tidakkah aku menjadi hamba Allah yang bersyukur? Kenapa aku tidak menangis sedangkan Allah telah menurunkan kepadaku malam ini sebuah ayat iaitu:

 

إنّ في خلق السموات والأرض واختلاف الليل والنهار لآيات لأولي الألباب

 

“ Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir” (Surah Al-Imran, 91)

 

Kemudian baginda bersabda, celakalah orang yang membaca ayat ini tetapi tidak mahu merenungkannya.”

 

Oleh itu, marilah bersama-sama kita mencontohi cara baginda s.a.w mentadabbur ayat-ayat Al-Quran agar ia dapat memberikan kesan dan impak yang besar ke dalam hati kita, InsyaAllah.

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 17 Feb 2017/ 20 Jamadilawal 1438H