Tazkirah Ringkas: Menghilangkan Dahan Berduri di Jalanan

 

Menghilangkan Dahan Berduri di Jalanan

 

عَنْ أَبِي هُريْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ الله (ص) “مَرَّ رَجُلٌ بِغُصْنِ شَجَرَةٍ عَلَى ظَهْرِ طَرِيقٍ فَقَالَ وَاللَّهِ لَأُنَحِّيَنَّ هَذَا عَنْ الْمُسْلِمِينَ لَا يُؤْذِيهِمْ فَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ”

 

Terjemahan Hadis:

 

Dari Abu Hurairah r.a  dia berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w :

“Seorang lelaki telah lalu pada dahan sebatang pokok di tengah-tengah jalan, lalu dia berkata: ‘Akan aku ketepikan dahan ini dari (laluan) orang-orang Islam agar tidak membahayakan mereka’. Lalu orang itu dimasukkan ke syurga!”

 

(Hadis Riwayat Imam Muslim)

 

 

Beberapa pengajaran penting:

 

  1. Hadis tersebut menerangkan kepada kita bahawa Allah s.w.t pasti akan mengurniakan ganjaran yang besar kepada hambaNya sekiranya hamba tersebut berusaha membantu menghilangkan sesuatu bahaya dari jalanan kerana bimbang akan keselamatan orang lain. Sikap yang baik ini pasti tidak akan wujud di dalam diri seseorang sekiranya seseorang itu tidak memiliki hati yang bersih yang hanya mementingkan akan keselamatan dirinya sahaja tanpa memikirkan keselamatan orang lain

 

  1. Seseorang itu tidak semestinya dijamin untuk masuk ke syurga Allah s.w.t kerana banyak amalannya seperti qiamullail, puasa, sedekah dan sebagainya, tetapi dengan melalui amalan yang mudah dan sedikit sahaja, seseorang itu juga mungkin boleh dimasukkan ke dalam syurga Allah s.w.t dengan keluasan sifat rahmatNya

 

Oleh itu, janganlah kita terlalu memandang rendah  kepada orang yang bekerja sebagai tukang sapu sampah dan pembersih jalanan, kerana berkemungkinan mereka itu lebih mulia berbanding kita disebabkan pekerjaannya itu jika dilakukan dengan ikhlas demi menjaga kebersihan tempat untuk maslahat orang ramai

 

  1. Memang tidak dinafikan bahawa, kita sebagai hamba Allah wajib melaksanakan segala titah perintahnya yang wajib, namun jangan pula sampai kita meremehkan perkara kebaikan yang kecil, kerana berkemungkinan perkara itulah sebenarnya yang paling tinggi dan besar nilainya di pandangan Allah s.w.t jika kita melakukannya dengan penuh keikhlasan sambil mengharap redhaNya

 

Begitu juga sebaliknya, janganlah kita terlalu memandang mudah kepada dosa yang kecil kerana bimbang ianya akan menjadi lebih besar sekiranya kita berterusan melakukannya akibat terpedaya dan tertipu dengan mainan dan hasutan syaitan

 

Sekian sahaja tazkirah Jumaat untuk hari ini.

Wallau’alam

 

 

 

Disediakan oleh

Ustaz Mohd Syafiq Bin Jamil

(Imam Masjid Kampung Siglap)

14 Oktober 2016 / 13 Muharram 1437H