Tazkirah Ringkas : Mengapakah Al-Quran Disebut Sebagai Mukjizat Yang Paling Besar?

 

MENGAPAKAH AL-QURAN DISEBUT SEBAGAI MUKJIZAT YANG PALING BESAR?

 

Al-Quran telah memberikan cabaran demi cabaran kepada golongan pendeta bahasa Arab suatu ketika dahulu agar mencipta sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran, tetapi ternyata mereka tidak mampu untuk menyahut cabaran tersebut walaupun dengan pelbagai cara dan usaha yang dilakukan. Hal ini adalah kerana Al-Quran bukanlah ciptaan manusia, tetapi ia adalah merupakan sebuah mukjizat yang agung yang datang dari Allah SWT bagi menunjukkan kebenaran yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w.

Terdapat beberapa aspek kemukjizatan Al-Quran yang dijelaskan oleh Al-Imam al-Qurtubi dalam kitabnya Al-Jami’ lil Ahkam Al-Quran, iaitu:

  • Susunan yang sungguh indah dan tidak ada persamaan sama sekali dengan apa yang terdapat sama ada dalam bahasa Arab mahupun bukan bahasa Arab. Ini adalah kerana susunan Al-Quran bukan daripada jenis syair, seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

” (Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan kitab suci yang memberi penerangan” (Surah Yasin ayat 69)

  • Gaya bahasa yang sama sekali tidak sama dengan gaya bahasa Arab.

 

  • Ringkas dan padat yang tidak mungkin diperoleh daripada mana-mana nukilan makhluk.

 

  • Setiap huruf dan perkataan diletakkan tepat pada kedudukan dan tempat masing-masing.

 

  • Berita tentang perkara yang lepas, bermula awal kejadian alam hingga turunnya Al-Quran. Diceritakan juga kisah-kisah nabi, umat terdahulu dan peristiwa yang berlaku pada kurun lampau.

 

  • Mengandungi berita yang akan berlaku pada masa hadapan, yang tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun melainkan melalui wahyu Allah SWT.

 

  • Al-Quran mengandungi ilmu yang menjadi paksi dalam kehidupan seluruh manusia, termasuk hukum halal dan haram dan berbagai-bagai hukum lain.

 

  • Al-Quran mengandungi banyak kata-kata hikmah yang amat mulia dan tinggi nilainya ysng tidak mungkin lahir daripada fikiran manusia.

 

  • Keserasian dan keseragaman Al-Quran yang tidak terdapat sedikit pun percanggahan dan pertentangan antara satu sama lain.

 

Subhanallah! Begitu hebat sekali kehebatan dan kemukijizatan Al-Quran sehingga ia tidak mampu ditandingi oleh sesiapa sahaja di atas muka bumi ini walaupun dengan mencipta satu ayat atau sebaliknya. Wallahua’lam.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 3 Mac 2017/ 4 Jamadilakhir 1438H