Tazkirah Ringkas: Mencintai Saudara Semuslim

Mencintai Saudara Semuslim

 

((لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأ َخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ)) : عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

 

Daripada Sayyidina Anas r.a daripada Nabi s.a.w bersabda:

Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak akan beriman seseorangpun di kalangan kamu (secara sempurna) sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

 

 

Beberapa pengajaran penting:

 

  1. Tidak akan sempurna iman seseorang mukmin selagi mana dia tidak menyayangi saudaranya yang lain sama seperti dia menyangi dirinya sendiri. Maksud menyayangi di sini adalah mengasihi, mencintai dan merasa gembira sekiranya seseorang Muslim yang lain sentiasa mengerjakan perbuatan-perbuatan yang dicintai Allah swt. Sebaliknya seseorang Mukmin itu pula akan merasa marah dan sedih sekiranya saudara semuslimnya  yang lain hidup dalam  penuh kemaksiatan dan kemurkaan Allah s.w.t.

 

Ini bermakna, kasih sayang yang sejati adalah dia menginginkan saudaranya sentiasa hidup dalam kasih sayang Allah s.w.t, bukannya berada dalam kemurkaan Allah s.w.t

 

  1. Seorang Mukmin yang sejati akan sentiasa mengharapkan temannya dikurniakan kebahagiaan dunia dan akhirat. Dia merasa tenang sekiranya temannya sentiasa sihat, gembira, tidak diuji dengan ujian yang berat atau ditimpa kemiskinan dan sebagainya, bahkan dia terus mendoakan temannya semoga nikmat tersebut berkekalan sehingga ke akhir hayat.

 

Sebaliknya, sekiranya seseorang Muslim itu merasakan kurang senang atau sakit hati dengan kebahagiaan yang dikecapi oleh orang lain, itu adalah satu petanda bahawa orang tersebut belum memiliki iman yang sempurna

 

  1. Ciri-ciri Mukmin yang baik adalah dia akan sentiasa mengambil berat dan peduli tentang keadaan saudaranya yang lain. Ketika mana saudaranya itu diuji dan ditimpa dengan sesuatu musibah, dia sudi untuk menghulurkan sebarang bantuan dan pertolongan semampu yang mungkin bagi meringankan serta meredakan masalah yang dihadapinya

 

  1. Seorang Mukmin dituntut agar melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh menggembirakan hati temannya melalui kata-kata yang lembut dan sopan, senyuman yang manis, gurauan yang menyenangkan, hadiah serta dorongan yang baik di mana ia adalah merupakan akhlak yang baik yang perlu diterjemahkan dan dipraktikkan di dalam peribadi seorang Mukmin agar manusia dapat hidup dalam suasana yang berkasih sayang

 

 

Disediakan oleh

Ustaz Mohd Syafiq Jamil

(Imam Masjid Kampung Siglap)

30 September 2016 / 28 Zulhijjah 1437H