Tazkirah Ringkas: Maksud Al-Quran

 

MAKSUD AL-QURAN

 

Al-Quran adalah sebuah kitab Allah yang sangat mulia yang diturunkan kepada junjungan kita Nabi Muhammad saw. Ia adalah merupakan Kitab suci yang sempurna, terlengkap serta menjadi pedoman dan petunjuk untuk umat  Islam sepanjang zaman.

 

Allah SWT berfirman di dalam surah al Israa’ ayat 9:

 

إِنَّ هَٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا

 

Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. ”

 

Mengikut pandangan sebahagian ulama’, Al-Quran ialah Kalam Allah yang tertulis di Luh Mahfuz semenjak azali dan diturunkan ke Baitul ‘Izzah di langit pertama, kemudian di bawa pula ke langit dunia, seterusnya diturunkan dan disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril dalam bahasa Arab sebagai mukjizat Nabi Muhammad s.a.w dan disampaikan kepada umat manusia dengan jalan mutawatir dan dikira ibadat apabila membacanya.

 

Justeru itu, sebagai umat yang beriman sewajarnya Al-Quran itu dijadikan sebagai panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Di dalam masa yang sama, Rasulullah s.a.w juga memerintahkan kepada kita supaya sentiasa melazimi diri untuk membaca Al-Quran kerana ia dapat memberikan syafaat bagi pembacanya pada hari kiamat kelak. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis:

 

اقرأوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعاً لأصحابه

Maksudnya: “Bacalah Al-Quran, sesungguhnya Al-Quran itu akan datang pada hari kiamat untuk memberi syafaat bagi orang yang membacanya” (Hadis Riwayat Muslim)

 

Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan orang-orang yang sentiasa mendapat syafaat Al-Quran di Hari Akhirat kelak, InsyaAllah.

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 6 Januari 2017/ 7 Rabiulakhir 1438H