Tazkirah Ringkas: Lemahnya Iman Disebabkan Maksiat

 

LEMAHNYA IMAN DISEBABKAN MAKSIAT

 

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam satu hadis yang berbunyi:

 

لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَسْرِقُ السَّارِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ

 

Terjemahan Hadis:

 

“Tidak akan berzina seseorang yang berzina itu ketika dia berzina; dalam keadaan dia seorang mukmin. Tidak akan mencuri seseorang yang mencuri itu ketika dia mencuri; dalam keadaan dia seorang mukmin. Dan tidak akan minum arak seseorang yang meminum arak ketika dia minum arak; dalam keadaan dia seorang Mukmin”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

 

Beberapa pengajaran penting:

1. Hadis ini menunjukkan bahawa keimanan yang teguh dan utuh terhadap janji dan ancaman Allah S.W.T  yang akan ditimpa kepada pelaku dosa dan maksiat kelak dapat membentengi diri seseorang itu daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Sekuat mana seseorang mukmin itu melawan hawa nafsunya bergantung kepada sekuat mana imannya kepada Allah SWT.

 

2. Sesungguhnya orang-orang  yang melakukan zina,  mencuri dan meminum arak itu sebenarnya  memiliki iman yang sangat lemah dan rapuh, namun tidaklah menjadikan mereka kufur kepada Allah S.W.T
Justeru itu, jika mereka bertaubat bersungguh-sungguh dan meninggalkan semua perbuatan dosa tersebut,  Allah pasti akan mengampunkan segala dosa-dosa mereka yang lalu. Seandainya ditakdirkan mereka tidak sempat bertaubat dan meninggal dunia dalam maksiat tersebut, maka segala urusan tersebut adalah bergantung kepada Allah S.W.T  .  Jika Allah kehendaki,  Allah akan memaafkan mereka dan memasukkan ke dalam syurgaNya, dan jika Allah kehendaki, Allah akan menyeksa mereka terlebih dahulu kemudian memasukkannya ke dalam syurgaNya kerana Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

3. Allah S.W.T  membekalkan nafsu di dalam diri setiap manusia, di mana nafsu itu kadangkala boleh mengarah ke arah melakukan kebaikan ataupun kejahatan.

Oleh hal yang demikian,  manusia perlu berusaha bersungguh-sungguh melawan hawa nafsunya yang mengarah kepada kejahatan dan dosa bagi menghindarkan dirinya kepada perkara-perkara yang mengundang kebencian dan kemurkaan Allah S.W.T

 

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam Masjid Kg Siglap