Tazkirah Ringkas : Iktibar Kisah Israk Mikraj Di sebalik Perintah Kewajipan Solat

Iktibar Kisah Israk Mikraj Di sebalik Perintah Kewajipan Solat

 

Israk Mikraj adalah suatu peristiwa besar dalam Sirah Rasulullah s.a.w. Pelbagai tribulasi ditempuh oleh baginda sepanjang menyampaikan dakwahnya. Baginda dan sahabatnya dizalimi oleh golngan Musyrikin Quraisy, dilontar dengan batu oleh para pemuda Taif sehingga berdarah kaki baginda. Kesedihan yang menimpa Rasulullah s.a.w inilah yang menjadi penyebab baginda diisrak dan dimikrajkan, peristiwa yang berlaku pada 27 Rejab tahun kesepuluh baginda diutuskan.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
 “Maha Suci Allah yang menjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

(Surah al-Israa’ ayat 1)
Perkara paling utama yang kita boleh ambil iktibar dalam kisah Israk dan Mikraj ini adalah mengenai perintah kewajipan melaksanakan solat lima waktu.

 

Saudara,

Kita hendaklah melaksanakan ibadat solat wajib ini dengan bersungguh-sungguh kerana ia adalah merupakan satu-satunya amalan pertama yang akan dihitung oleh Allah SWT terlebih dahulu ketika kita berada di padang Mahsyar kelak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya perkara pertama yang dihitung terhadap seseorang hamba pada hari Kiamat daripada amalannya adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka sungguh beruntung dan berjayalah dia dan jika solatnya rosak, maka kecewa dan rugilah dia”. Jika amalan solat tersebut mendapat pahala yang sempurna, maka amalan lain barulah dihitung kemudiannya.”

(Hadis Riwayat Imam Tirmizi).
Oleh kerana pentingnya ibadah solat ini, marilah kita menjaga solat fardhu pada setiap hari dengan menepati waktunya, menjaga segala rukun, syarat dan sunatnya.  Perbaikilah setiap bacaan dan doa dalam solat kita agar kita menjadi orang yang berjaya dan beruntung pada Hari Akhirat kelak.

 

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 14 April 2017/ 17 Rejab 1438H