Tazkirah Ringkas : Hak-Hak Ukhwah

Hak-Hak Ukhwah

 

Alhamdulillah, pada minggu yang lalu, kita telah memahami serta menghayati erti dan nilai sebuah ukhwah yang perlu kita tanamkan dan suburkan dalam diri kita. Namun, adakah kita pernah mengetahui atau menyedari berkenaan hak-hak ukhwah yang perlu ditunaikan oleh kita kepada saudara seislam yang lain? Sudah semestinya nilai sesebuah ukhwah itu tidak akan lengkap dan sempurna sekiranya kita tidak memahami dan bersungguh-sungguh menunaikan hak-hak ukhwah ini kerana ia adalah merupakan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan, bukan hanya sekadar teori dan ucapan di bibir semata-mata.

 

Saudara yang dirahmati Allah,

Bagi menjawab persoalan yang di atas, Rasulullah s.a.w pernah menyatakan berkenaan hak-hak tersebut. Ia sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

 

“Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya”.

(Hadis Riwayat Imam Muslim)

 

Berdasarkan hadis tersebut, terdapat enam hak-hak ukhwah yang perlu kita tunaikan iaitu:

a. Memberi salam.

Dianjurkan memberi salam kepada orang yang kita kenali ataupun tidak. Sabda Nabi s.a.w maksudnya:

 

..Dan kamu mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.”

 

 (Hadis Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

 

b. Memenuhi undangan

Berusaha memenuhi undangan sesuatu majlis selagi mana tidak terdapat unsur-unsur maksiat.

c. Memberi nasihat

Memberikan nasihat apabila diperlukan kerana agama itu adalah nasihat.

d. Mendoakan sahabat ketika bersin

Doa yang diajarkan oleh baginda adalah:

 

يَرْحَمُكَ اللَّهُ ”

Maksudnya: “Semoga Allah merahmatimu”

 

e. Menziarahi sahabat yang sedang sakit.

Nabi s.a.w pernah bersabda maksudnya:

 

”Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi.”

 (Hadith Riwayat At-Tirmizi)

 

f. Mengiringi jenazah

Hendaklah mengiringi jenazah ke tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan terakhir buat si mati.

 

Demikianlah hak-hak ukhwah yang perlu kita penuhi. Oleh itu, marilah kita mempraktikkan dalam kehidupan bermasyarakat. Mudah-mudahan dengan menunaikan hak-hak tersebut, dapat memantapkan serta mengukuhkan lagi ukhwah sesama kita, InsyaAllah.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 11 Ogos 2017/ 18 Zulkaedah 1438H