Tazkirah Ringkas: Cinta Buat Rasulullah s.a.w

 

Cinta Buat Rasulullah s.a.w

 

عن أنس قال قال النبي صلى الله عليه وسلم لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

 

Terjemahan Hadis:

 

Daripada Sayyidina Anas r.a beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tidak akan sempurna (keimanan) seseorangpun daripada kalangan kamu sehingga daku menjadi orang yang paling dikasihinya lebih daripada kasihnya terhadap  ayahnya, anaknya dan manusia seluruhnya:

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Beberapa pengajaran penting:

 

  1. Hendaklah seseorang Muslim itu berusaha sedaya upaya untuk menanamkan rasa cinta dan sayang kepada Rasulullah s.a.w melebihi cintanya kepada kedua ibu ayahnya, anaknya, teman-temannya dan manusia seluruhnya kerana bagindalah insan mulia yang telah menyelamatkan kita dari kesesatan dan kekufuran yang menjadi penyebab untuk kita dihindarkan dari api neraka Allah s.w.t.

Oleh itu, perlu dingatkan betapa pentingnya peranan seorang ibu dan ayah di dalam mendidik anak-anak mereka agar dapat menanamkan perasaan cinta dan sayang kepada baginda sejak dari kecil lagi supaya apabila mereka telah dewasa nanti, mereka dapat menjadikan baginda sebagai ikon  pertama di dalam hidup mereka yang selayaknya dicontohi

  1. Tahap perasaan cinta dan kasihnya seseorang Mukmin kepada Rasulullah s.a.w adalah bergantung kepada sejauh mana dia mengenali diri baginda serta mengkaji dan menelusuri kisah dakwah dan perjuangan hidup baginda. Bagindalah insan yang pernah mengikat perutnya dengan batu kerana menahan kelaparan, pernah mengalami luka-luka akibat dilontar dengan batu, dilempari najis dan bangkai dan lain-lain lagi semata-mata kerana ingin menyampaikan iman dan Islam kepada manusia agar Islam tertegak di atas muka bumi ini.

Jika seseorang Mukmin itu benar-benar memahami sejarah perjuangan baginda, pasti hati kecilnya akan tersentuh dan sayu mengenangkan jasa dan pengorbanan baginda walaupun tidak pernah berjumpa dan bertemu dengan baginda.

  1. Cinta kepada baginda bukanlah hanya sekadar ucapan di bibir dan linangan air mata kerinduan sahaja, tetapi cinta tersebut hendaklah dizahirkan dengan mengamalkan segala sunnah baginda, mencontohi akhlak baginda di dalam setiap amal perbuatan, percakapan dan tingkah laku agar perasaan cinta tersebut benar-benar dapat ditonjolkan dalam setiap tindakan dan tingkah laku kita.

 

Sekian sahaja tazkirah Jumaat untuk hari ini.

Wallau’alam

 

 

Disediakan oleh

Ustaz Mohd Syafiq Jamil

(Imam Masjid Kampung Siglap)

7 Oktober 2016 / 6 Muharram 1437H