Tazkirah Ringkas : Cara Rasulullah Membaca Al-Quran

CARA RASULULLAH MEMBACA AL-QURAN

 

Setiap orang yang ingin membaca Al-Quran hendaklah mengikuti serta mencontohi cara bacaan nabi s.a.w kerana Baginda adalah menjadi qudwah  dan ikutan di dalam setiap amal ibadah yang kita lakukan.

Berikut diterangkan tentang cara-cara bacaan nabi s.a.w membaca Al-Quran yang dipetik dari hadis-hadis nabi s.a.w iaitu:

 

a. Membaca dengan jelas, satu huruf demi satu huruf

 

“Ya’la bertanya kepada Ummu Salamah mengenai cara Rasulullah s.a.w membaca Al-Quran. Ummu Salamah segera menjelaskannya, Rasulullah s.aw membaca Al-Quran dengan jelas, perkataan demi perkataan”

(Hadis riwayat Imam Abu Daud, At-Tirmizi dan An-Nasa’i)

 

b. Memanjangkan bacaan sesuai dengan hukum tajwid

 

Qatadah berkata:

“Aku bertanya kepada Anas bin Malik, “Bagaimanakah  cara Rasulullah s.a.w membaca Al-Quran?” Anas menjawab, “Baginda memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan An-Nasa’i)

 

c. Memotong bacaan pada setiap ayat

 

Ummu Salamah berkata:

“Rasulullah s.a.w memotong bacaan Baginda (pada setiap ayat). Baginda membaca الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ lalu berhenti. Kemudian, Baginda membaca الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ  lalu berhenti lagi. Selepas itu, Baginda membaca  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ”

(Hadis Riwayat Imam Abu Daud, At-Tirmizi dan Ahmad)

 

d. Kadang kala dengan suara yang perlahan, kadang kala dengan suara yang kuat

 

Abdullah bin Abi Qais berkata:

“Aku bertanya kepada mengenai bacaan Rasulullah s.a.w, “Adakah Baginda membaca secara perlahan ataupun kuat?” Aisyah menjawab, “Kedua-dua cara itu pernah dilakukan oleh Rasullah s.a.w. Kadang kala Baginda baca dengan perlahan, dan kadang kala Baginda baca dengan kuat.” Aku membalas, “Seluruh pujian kepada Allah yang memberikan kemudahan dan kesenangan dalam perkara ini. ”

(Hadis Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan An-Nasa’i)

 

e. Membaca Al-Quran pada waktu malam

 

Ummu Hani berkata:

“Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w membaca (Al-Quran) pada waktu malam, dan ketika itu aku berada di atas tempat tidur.”

(Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan An-Nasa’i)

 

f. Membaca dengan suara yang merdu

 

Qatadah berkata:

“Allah tidak mengutus seorang nabi melainkan nabi itu berwajah tampan dan bersuara merdu. Nabi kamu semua berwajah tampan dan bersuara merdu. Kadang kala, Baginda tidak melagukan bacaan.”

(Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

 

Semoga kita dapat mencontohi serta mengamalkan cara-cara bacaan nabi s.a.w pada setiap kali kita ingin membaca Al-Quran , InsyaAllah.

Sekian.

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 20 Januari 2017/ 21 Rabiulakhir 1438H