Tazkirah Ringkas : Beberapa Sunnah Hari Jumaat

Beberapa Sunnah Hari Jumaat

 

Hari Jumaat adalah merupakan hari yang istimewa bagi umat Islam dan mempunyai pelbagai sunnah yang boleh kita amalkan. Tahukah anda terdapat sebuah hadis sahih yang menyatakan bahawa sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, lalu menuju ke Masjid pada awal pagi serta mendengar khutbah dengan penuh khusyuk dan tekun akan memperoleh kelebihan yang sangat besar. Sabda Rasulullah s.a.w:

 

 (مَنْ غَسَّلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَاغْتَسَلَ ، ثُمَّ بَكَّرَ وَابْتَكَرَ ، وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ ، وَدَنَا مِنْ الإِمَامِ فَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ ؛ كَانَ لَهُ بِكُلِّ خُطْوَةٍ عَمَلُ سَنَةٍ أَجْرُ صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا)

 

Maksudnya:

“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian datang ke Masjid pada pagi-pagi hari dengan berjalan kaki, dan duduk dekat dengan Imam dan mendengar khutbah dengan khusyuk, maka baginya setiap langkah adalah seperti amalan setahun, dan diberinya pahala orang yang puasa dan orang yang bangun malam (untuk ibadat) sepanjang tahun.”

 

(Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Tarmizi, Nasai & Ibnu Majah)

 

Telah berkata Imam Ibnu Hajar berkenaan dengan hadis ini:

 

“Tidak terdapat di dalam hadis yang sahih berkenaan dengan amalan sunat yang mana pahalanya lebih besar daripada pahala ini. Maka hendaklah kita merebut peluang ini. ”

 

Subhanallah! sungguh besar pahala orang yang mandi sunat pada hari Jumaat, datang ke Masjid pada awal bagi, duduk berdekatan dengan imam serta mendengar khutbah dengan penuh khusyuk. Setiap langkah orang yang mengamalkan sunnah ini adalah menyamai seperti amalan setahun, bahkan dikurniakan pula pahala seperti orang yang berpuasa dan beribadah pada malam hari sepanjang tahun.

 

Oleh itu, marilah  bersama-sama kita mengamalkannya  dan menjadikannya sebagai rutin kehidupan kita pada setiap Jumaat, InsyaAllah.

 

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 31 Mac 2017/ 3 Rejab 1438H