Tazkirah Ringkas : Bagaimanakah Cara Mencintai Nabi Muhammad s.a.w?

Salah satu cara untuk mencintai nabi Muhammad s.a.w adalah dengan mengenali nama baginda. Terdapat beberapa nama baginda yang disebut di dalam hadis yang perlu kita ketahui dan selami maksudnya sepertimana sabda nabi s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku memiliki beberapa nama, aku adalah Muhammad, aku adalah Ahmad, aku adalah Al Mahi yang denganku Allah membasmi kekufuran, aku adalah Al Hasyir di mana manusia dikumpulkan di bawah kakiku dan aku adalah Al ‘Aqib, Al ‘Aqib adalah seorang nabi yang tidak ada seorang nabi pun setelahnya.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

 

Nama-nama baginda yang disebutkan di dalam hadis di atas adalah:

  • Muhammad

Muhammad adalah nama yang paling masyhur kerana terdapat dalam Al-Quran. Baginda dinamakan Muhammad yang bermaksud insan yang banyak dipuji.

 

  • Ahmad

Nama ini adalah nama yang disebut oleh Nabi I’sa a.s ketika memberikan khabar gembira akan kedatangan nabi dan rasul yang terakhir seperti yang tercatat dalam surah Saf.

 

  • Al-Mahi

Rasulullah s.a.w dinamakan sebagai Mahi kerana baginda diutus oleh Allah SWT untuk menghapuskan segala kesyirikan dan penyembahan berhala yang berlaku di Semenanjung Tanah Arab.

 

  • Al-Hasyir

Bermaksud “Yang mengumpulkan”. Ia dapat difahami bahawa Rasulullah s.a.w adalah insan yang menjadi tumpuan dan harapan untuk mendapatkan syafaat pada hari kiamat kelak sehingga manusia berkumpul di sekelilingnya.

Pada ketika itu, baginda adalah insan pertama yang dibukakan pintu syurga kepadanya, yang memberi syafaat dan yang diberi syafaat. Baginda juga adalah insan pertama yang akan menuntun tangan-tangan kita untuk masuk ke syurga Allah SWT dan yang dituangkan kepadanya telaga Al-Kauthar di hari kiamat kelak.

  • Al-A’qib

Al’Aqib  bermaksud “Orang yang terakhir datang”. Baginda dinamakan sebagai Al-A’qib kerana tidak ada nabi selepas baginda.

 

Demikianlah nama-nama nabi Muhammad s.a.w yang disebutkan di dalam hadis. Setiap nama-nama ini mempunyai maksud yang tersendiri yang menunjukkan keistimewaan baginda. Semoga dengan mengenali dan memahami nama-nama baginda ini, dapat menambahkan lagi kecintaan kita kepadanya, InsyaAllah.

 

Sekian

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 10 Mac 2017/ 11 Jamadilakhir 1438H