Tazkirah Ringkas : Bacalah Al-Quran Dengan Suara Yang Indah

BACALAH AL-QURAN DENGAN SUARA YANG INDAH
Selain daripada mentadabbur Al-Quran, kita juga disunatkan untuk membaca Al-Quran dengan suara yang indah (tarannum). Bacaan yang mantap dan memenuhi semua keperluan hukum tajwid, fasahah, tarannum mampu menggetarkan hati orang yang mendengarnya serta dapat menarik ramai hati orang yang lalai untuk terus merenungkan serta memikirkan akan keagungan Allah SWT. Rasulullah saw pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Hiasilah Al-Quran dengan suaramu kerana suara yang baik akan menambah keelokan Al-Quran.” (Hadis Riwayat Hakim).
Mengikut pendapat daripada imam al-Syafie, beliau mengharuskan bacaan Al-Quran dalam keadaan berlagu, dan juga pendapat beliau turut disokong oleh imam al-Nawawi, malah ramai lagi para ulama lain yang mengharuskannya. Jika dilihat, nabi s.a.w sendiri membaca Al-Quran dengan suara yang indah dan merdu sepertimana yang dinyatakan oleh Al-Bara Ibn Azib r.a:
“Aku mendengar Nabi SAW membaca surah Al-Tin ketika sembahyang Isyak dan aku tak pernah mendengar suara semerdu suaranya”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Selain itu juga, baginda turut memuji para sahabatnya yang membaca Al-Quran dengan baik dan merdu. Pernah suatu ketika baginda mendengar Abu Musa al-Asyari membaca Al-Quran dengan suara yang merdu lalu baginda bersabda:
“Sesungguhnya kamu dianugerahkan seruling dari seruling keluarga Daud a.s”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, cubalah semampu mungkin untuk membaca Al-Quran dengan suara yang indah agar ianya dapat memberi kesan ke dalam hati kita, seterusnya mampu meresap terus ke dalam hati orang yang mendengarnya, InsyaAllah.
Sekian
Dikeluarkan oleh Pejabat Imam
Tazkirah Jumaat 24 Feb 2017/ 27 Jamadilawal 1438H