Tazkirah Ringkas : Amalan yang dapat dijauhkan dari api neraka

Tazkirah Jumaat 2 Disember 2016 / 2 Rabiulawal 1438H

 

Amalan yang dapat dijauhkan dari api neraka

 

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang berbunyi:

 

فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُزَحْزَحَ عَنْ النَّارِ وَيُدْخَلَ الْجَنَّةَ فَلْتَأْتِهِ مَنِيَّتُهُ وَهُوَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَلْيَأْتِ إِلَى النَّاسِ الَّذِي يُحِبُّ أَنْ يُؤْتَى إِلَيْهِ

 

Terjemahan Hadis:

“Sesiapa yang suka untuk diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka hendaklah dia meninggal dunia dalam keadaan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan juga dia mendatangi (bergaul) dengan manusia (dengan melakukan kebaikan) sebagaimana dia suka orang lain memperlakukan begitu (kebaikan) kepadanya.”

 

(Hadis Riwayat Imam Muslim)

 

 

Beberapa pengajaran penting:

 

Setiap orang yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat amat suka jika dirinya diselamatkan dari api neraka Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurgaNya kerana itulah kemuncak kejayaan seseorang Mukmin di Hari Akhirat kelak.  Maka sesiapa yang ingin memyelamatkan dirinya dari api neraka dan dimasukkan ke syurga, hendaklah dia bergaul dengan manusia dengan akhlak yang baik, berlemah lembut di dalam setiap tutur kata ataupun tindakan sepertimana dia juga suka diperlakukan begitu.

 

Hadis ini juga bermaksud janganlah kita menyakiti hati orang lain sebagaimana kita juga tidak suka disakiti, jangan kita memusuhi seseorang sebagaimana kita juga tidak suka dimusuhi, jangan kita mengumpat atau menghina seseorang sepertimana kita juga tidak suka diperlakukan begitu dan sebagainya.  Oleh itu, sekiranya kita mampu bergaul dengan manusia dengan akhlak-akhlak tersebut, maka amat mudahlah kita untuk mendapat ganjaran syurga daripada Allah SWT serta dijauhkan daripada azabNya.

 

Jika dilihat dan diteliti dengan lebih mendalam, hadis ini juga hampir sama dengan hadis Baginda SAW yang lain yang bermaksud:

 

“Tidak akan beriman seseorangpun dikalangan kamu (secara sempurna) sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam