Tazkirah Ringkas : Adakah Setiap Surah Al-Quran Mempunyai Kelebihan Tersendiri?

Tazkirah Jumaat 10 Februari 2017/ 13 Jamadilawal 1438H

ADAKAH SETIAP SURAH AL-QURAN MEMPUNYAI KELEBIHAN TERSENDIRI?

Kitab suci Al-Quran mengandungi 114 surah. Setiap surah mempunyai fadhilat dan kelebihan tertentu. Oleh sebab itu, terdapat banyak hadis sahih yang menyatan kelebihan surah-surah Al-Quran seperti beberapa contoh berikut:

• Setiap rumah yang dibacakan surah Al Baqarah tidak akan dimasuki oleh syaitan. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Jangan engkau jadikan rumahmu sebagai kubur. sesungguhnya rumah yang dibacakan surah Al Baqarah tidak akan dimasuki oleh syaitan”.
(Hadis Riwayat Muslim & Imam Ahmad)

• Sesiapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada setiap Jumaat, akan memperoleh cahaya antara dua Jumaat. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka Allah akan meneranginya dengan cahaya antara dua Jumaat (dari Jumaat ke Jumaat)”
(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

• Surah Yasin adalah hati Al-Quran. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
“Bahawa sesungguhnya bagi tiap-tiap hati sesuatu itu ada hatinya. Hati Al-Quran ialah surah Yasin. Sesungguhnya aku berasa amat sukacita jika surah ini berada di dalam hati setiap umatku”
(Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi)

• Surah Al-Ikhlas menyamai satu pertiga Al-Quran. Diriwayatkan dari Abu Darda’, Nabi s.a.w bersabda:
“Apakah seorang kamu sangat lemah dan tidak mampu untuk membaca satu pertiga Al-Quran pada satu malam? Para sahabat bertanya: Bagaimana seseorang itu boleh membaca satu pertiga Al-Quran? Rasulullah menjawab: Qul Hua Allah Ahad itu menyamai satu pertiga Al-Quran”
(Hadis Riwayat Muslim)

Demikianlah contoh kelebihan beberapa surah. Oleh itu, marilah bersama-sama kita mengamalkanya serta menjadikan surah-surah in sebagai bacaan harian kita, InsyaAllah.

Sekian
Dikeluarkan oleh Pejabat Imam