Tazkirah Ringkas : Adab-adab Tilawah Al-Quran

ADAB-ADAB TILAWAH AL-QURAN
Orang yang membaca Al-Quran perlu menjaga serta memelihara adab-adab ketika ingin membaca Al-Quran kerana ia adalah sebuah kitab suci Allah yang agung, tidak sama seperti kitab-kitab yang lain. Di dalam kitab at-Tibyan, Imam an-Nawawi ada menjelaskan beberapa adab yang dituntut ketika membaca Al-Quran seperti berikut:
- Membersihkan mulutnya dengan bersiwak, menggosok gigi sebelum membaca Al-Quran serta suci daripada hadas kecil dan besar. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Tidak boleh menyentuh Al-Quran kecuali engkau dalam keadaan suci”
(Hadis Riwayat Daruquthni)
- Hendaklah membaca Al-Quran di tempat yang bersih dan disarankan membacanya di masjid.
- Hendaklah mengadap ke arah kiblat, tenang serta merendahkan kedudukan kepala.
- Hendaklah menumpukan sepenuh perhatian terhadap ayat yang dibaca agar dapat menghadirkan rasa khusyuk ketika membaca Al-Quran.
- Hendaklah melafazkan bacaannya dengan tartil (perlahan-lahan) kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan bacalah Al-Quran dengan perlahan-lahan (tartil)” (Surah al-Muzammil:4)
- Hendaklah dia memuliakan Al-Quran dengan tidak bermain-main ketika membacanya baik dengan tertawa, membuat pergaduhan, bertengkar atau bersenda gurau.
- Tidak dibenarkan membaca Al-Quran selain menggunakan bahasa Al-Quran samaada di dalam solat atau di luar solat.
- Dilarang membaca Al-Quran selain dengan cara bacaan yang tujuh yang mutawatir serta dilarang membacanya dengan bacaan yang diluar ketentuan.
Demikianlah beberapa adab yang dapat dikongsikan ketika ingin membaca Al-Quran. Mudah-mudahan kita dapat memperaktikkannya di dalam setiap pembacaan Al-Quran kita, InsyaAllah.
Sekian
Dikeluarkan oleh Pejabat Imam
Tazkirah Jumaat 3 Februari 2017/ 6 Jamadilawal 1438H