Tazkirah Ringkas, 9hb Sep 2016

 

Sifat Malu  adalah Salah Satu Daripada Cabang-Cabang Iman

عن أبي هريرة – رضي الله عنه – عن النبي – صلَّى الله عليه وسلَّم – قال:

((الإيمان بضعٌ وستون شُعْبة، والحياء شُعْبة من الإيمان))
Daripada [Sayyidina] Abu Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w bersabda:

“Iman itu mempunyai cabang yang berjumlah sekitar 63-69 cabang. Malu adalah satu cabang daripada (cabang-cabang) iman”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

 

Beberapa pengajaran penting:

  1. Sifat malu adalah sebahagian daripada iman, maka tidak akan sempurna iman seseorang itu jika tidak memiliki sifat ini
  2. Rasulullah s.a.w hanya meyatakan bahawa sifat malu adalah salah satu daripada cabang-cabang iman sedangkan baginda tidak pula menerangkan cabang-cabang iman yang lain. Ini adalah kerana dengan sifat malulah seseorang itu akan tergerak hatinya untuk melakukan kebaikan serta menjauhi dirinya daripada melakukan kemungkaran.
  3. Malu di sisi syarak adalah satu akhlak yang amat terpuji di mana kita dituntut untuk megamalkannya di dalam setiap tingkah laku kita. Seseorang yang memiliki sifat ini akan sentiasa menghindarkan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang buruk kerana dia yakin bahawa Allah sentiasa memerhati setiap gerak-geri hambanya
  4. Tanda-tanda orang yang hilang sifat malunya kepada Allah s.w.t ialah mereka tidak segan silu melakukan perbuatan-perbuatan dosa serta bangga pula mempamerkan segala perbuatan dosa tersebut di depan khalayak ramai
  5. Malu pada dasarnya adalah sifat yang amat terpuji di dalam Islam, namun boleh juga menjadi tercela jika ia menghalangi seseorang itu untuk mendapatkan ilmu agama dan mencari kebenaran seperti malu bertanya kepada para ulama di dalam perkara-perkara yang tidak difahami dan lain-lain

Ayuhlah bersama-sama kita mengamalkan sifat ini kerana ia adalah merupakan salah satu daripada cabang-cabang iman, namun jangan sampai pula sifat ini menghalangi kita untuk menuntut ilmu, melakukan yang haq serta menjauhi kesalahan dan dosa.

 

 

Wallahua’lam. Sekian sahaja tazkirah Jumaat pada hari ini.

 

Disediakan oleh
Imam Masjid Kampung Siglap
9 September 2016 / 7 Zulhijjah 1437H