Tazkirah Ringkas, 2hb Sep 2016

mimbarjumaat

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ: قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

[ متفق عليه ]

Dari Abul Abbas, iaitu Abdullah bin Abbas bin Abdul Muthalib radhiallahu ‘anhuma dari Rasulullah saw dalam suatu huraian yang dari Tuhannya Tabaraka wa Taala (Hadis seperti ini disebut Hadis Qudsi) bersabda: “Sesungguhnya Allah Taala itu mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menerangkan yang sedemikian itu – iaitu mana-mana yang termasuk hasanah (kebaikan) dan mana-mana yang termasuk sayyiah (keburukan). Maka sesiapa yang berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka dicatatlah oleh Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan sesiapa berkehendak mengerjakan kebaikan itu kemudian terus melakukannya, maka dicatatkan oleh Allah sebagai sepuluh kebaikan di sisi-Nya, sampai menjadi tujuh ratus kali ganda, bahkan dapat sampai menjadi berganda-ganda yang amat banyak sekali. Selanjutnya, sesiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan kemudian tidak jadi melakukannya maka dicatatkan oleh Allah Taala sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya dan sesiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan itu kemudian terus melakukannya, maka dicatatkan oleh Allah Taala sebagai satu keburukan saja di sisi-Nya.”

(Muttafaq ‘alaih)

Beberapa pengajaran penting:

  1. Kita perlu untuk sentiasa melakukan amal-amal soleh di dunia ini  kerana semua amalan ini pasti akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t
  1. Sesungguhnya setiap kebaikan dan keburukan yang dilakukan itu pasti ada balasannya, ini menunjukkan kesempurnaan keadilan Allah s.w.t terhadap hamba-hamba-Nya
  1. Orang yang berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak jadi melakukannya  akan ditulis dengan suatu kebaikan yang sempurna, bahkan Allah akan dikurniakan 10 kebaikan  di sisi Allah  serta dilipat gandakan dengan sebanyak-banyaknya melebihi 700 kali ganda jika ia melakukan kebaikan tersebut. Ini menunjukkan betapa kasih dan pemurahnya Allah s.w.t terhadap sekalian hamba-hambanya
  1. Kelebihan berniat dengan niat yang baik, maka digalakkan bagi setiap Muslim supaya berterusan melakukan kebaikan, mudah-mudahan Allah mencatatnya sebagai pahala kebaikan
  1. Berniat serta melakukan kebaikan adalah lebih afdhal daripada berniat tetapi tidak jadi melakukannya
  1. Sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, kemudian meninggalkan kejahatan itu semata-mata kerana Allah, maka akan dicatat baginya suatu pahala kebaikan yang sempurna
  1. Di antara tanda kasih sayang Allah s.w.t kepada para hamba Nya ialah sesuatu kejahatan yang ingin dilakukan tidak akan dilipat gandakan dosanya, malah dicatat baginya dengan satu keburukan sahaja

Marilah bersama-sama kita memohon kekuatan dari Allah s.w.t  agar sentiasa teguh serta istiqamah di dalam melakukan amal kebaikan serta dijauhkan daripada kemungkaran agar kita sentiasa mendapat rahmat Allah s.w.t, amin.

 

Disediakan oleh
Imam Masjid Kampung Siglap
30 Zulkaedah 1437H / 2 September 2016