Tazkirah Ringkas, 16hb Sep 2016

Sifat Muslim Yang Sempurna

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

(( الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ ))

 

Daripada Abdullah bin A’mr r.a daripada Nabi s.a.w bersabda:

“Orang Islam (yang sempurna) adalah orang yang mana; orang-orang-orang Islam yang lain adalah selamat daripada lidahnya dan tangannya. Orang yang berhijrah pula adalah orang yang meninggalkan perbuatan yang ditegah oleh Allah.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

 

Beberapa pengajaran penting:

 

  1. Muslim yang hakiki itu akan sentiasa menzahirkan nilai-nilai Islam yang murni di dalam kehidupannya serta menahan lidah dan tangannya daripada menyakiti muslim yang lain

 

  1. Belum sempurna iman seseorang itu jika dia tidak mampu mengawal lidahnya daripada menyakiti orang lain seperti mengumpat, mengadu domba, memfitnah, menipu, mencerca dan sebagainya. Begitu juga belum sempurna iman jika tidak mampu menahan tangannya daripada berlaku zalim seperti memukul, merampas hak orang lain, mencuri, menggunakan kepunyaan orang lain tanpa izin dan lain-lain

 

  1. Seseorang Muslim yang baik itu hendaklah menggunakan nikmat lidah dan tangannya dalam perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat seperti membaca Al-Quran, berzikir, menyebarkan Ilmu yang bermanfaat, nasihat yang baik, membantu orang lain, bersedekah dan sebagainya hatta berkata jujur dan benar agar kedua-dua nikmat tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin

 

  1. Hadis ini tidaklah menafikan keislaman seseorang Muslim yang tidak berakhlak baik sesama manusia, akan tetapi dia pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak di atas segala kemungkaran yang dilakukannya semasa di dunia

 

  1. Hadis ini juga meyatakan bahawa seseorang Muslim mesti melakukan perbuatan yang baik sesama Muslim, namun tidaklah menunjukkan bahawa orang Islam boleh mencela dan menghina orang bukan Islam

 

  1. Hijrah bukanlah semata-mata perpindahan zahir bahkan hijrah yang sempurna adalah meninggalkan perbuatan yang dilarang dan ditegah oleh Allah SWT

 

 

Disediakan oleh
Imam Masjid Kampung Siglap
16 September 2016 / 14 Zulhijjah 1437H