Tazkirah Ringkas : Kelebihan Membaca Al-Quran

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

 

Allah SWT berfirman di dalam surah Fatir, ayat 29 & 30  yang berbunyi:

 

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ (29) لِيُوَفِّيَهُمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضْلِهِ ۚ إِنَّهُ غَفُورٌ شَكُورٌ (30)

 

Maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah, dan tetap mendirikan solat serta mendermakan daripada apa yang kami kurniakan kepada mereka secara tertutup ataupun terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. (29) Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka daripada limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya. (orang-orang yang bersyukur kepadaNya)” (30)

 

Allah SWT menjanjikan kelebihan dan pahala yang amat besar kepada orang-orang yang membaca Al-Quran serta menjadikan Al-Quran itu sebagai bacaan utama di dalam kehidupan seharian.  Ia dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran, maka baginya diberi 10 pahala dan ditambah 10 lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. ”  (Hadis Riwayat Tirmizi)

 

Selain itu, baginda juga pernah membuat perbandingan terhadap orang yang membaca Al-Quran menerusi sabdanya: “Perumpamaan Mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah Utrujjah harum baunya dan enak rasanya dan Mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah tamar enak rasanya tetapi tiada haruman.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

 

Terlalu banyak ganjaran yang Allah berikan kepada pembacanya. Oleh itu, janganlah kita melepaskan peluang ini dengan menjadikan bacaan Al-Quran itu sebagai budaya di dalam hidup kita serta berusaha membacanya pada setiap hari walaupun satu ayat di mana sahaja kita berada.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa memberikan kita masa yang cukup untuk membaca Al-Quran pada waktu siang dan malam. Sebagaiman doa yang selalu dibacakan ketika khatam Al-Quran: Ya Allah kurniakanlah kepada kami untuk membaca Al-Quran sepanjang malam dan siang, Amin ya rab al-Alamin.

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 13 Januari 2017/ 14 Rabiulakhir 1438H