Tazkirah Ringkas : Dilarang Melakukan Kezaliman Terhadap Haiwan

Dilarang Melakukan Kezaliman Terhadap Haiwan

 

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang berbunyi:

 

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قال :  ( عُذّبت امرأة في هرّة ، سجنتها حتى ماتت ، فدخلت فيها النار ؛ لا هي أطعمتها ، ولا سقتها إذ حبستها ، ولا هي تركتها تأكل من خشاش الأرض )

 

Terjemahan Hadis:

Daripada ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Diazab  seorang wanita kerana kucing yang dipenjarakan (disimpan dalam satu tempat) sehingga mati, lalu wanita itu dimasukkan dimasukkan ke neraka, (kerana) dia (sengaja) tidak memberi makan dan minum (kepada kucing itu) sewaktu disimpan, tidak juga dilepaskan kucing itu untuk memakan apa-apa di atas muka bumi!”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

 

 

Beberapa pengajaran penting:

 

  1. Islam adalah agama yang amat melarang keras terhadap umatnya melakukan kezaliman dan penyiksaan terhadap sesama makhluk Allah termasuk haiwan, kerana perbuatan itu boleh menyebabkannya dicampakkan ke dalam api neraka. Larangan ini jelas termaksud di sebalik cerita dalam hadis tadi berkenaan dengan seorang wanita yang diazab oleh Allah SWT hanya kerana seekor kucing yang diseksanya sehingga mati.

Oleh sebab itulah, seseorang itu pasti tidak akan terlepas daripada menerima hukuman Allah SWT di hari pembalasan kelak di atas segala kezaliman yang telah dilakukan semasa di dunia, malah pasti akan dihukum dan dibalas oleh Allah SWT dengan seadil-adilnya kerana Allah SWT itu Maha Adil lagi Bijaksana

 

  1. Orang-orang yang pernah melakukan penyiksaan terhadap sesama makhluk Allah termasuk penyiksaan terhadap haiwan seperti memukulnya, mencederakannya, membiarkannya dengan tidak memberi makan, tidak membersihkannya atau tempat tinggalnya, jika ia binatang pemeliharaan dan sebagainya hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT serta wajib meninggalkan segala perbuatan-perbuatannya itu.

 

  1. Kita dianjurkan oleh agama yang mulia kita ini agar sentiasa berlaku ihsan terhadap haiwan kerana terdapat juga di dalam hadis sohih yang lain menceritakan berkenaan seorang wanita pengamal maksiat dari kalangan kaum bani Israel yang diampunkan dosanya oleh Allah SWT kerana memberi minum kepada anjing yang dalam kehausan. Ini menunujukkan betapa luasnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-hambanNya yang berhati mulia.

 

Wallahu a’lam

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam Masjid Kg Siglap

11 November 2016 / 11 Safar 1438H