JURNAL JEELUN QURANI (JIL. 1/2019): ISU SANAD DALAM PENGAJIAN QIRA’AT

$3.00

Jurnal Jeelun Qurani jilid pertama ini adalah sebuah Jurnal berwasit. Kompilasi kertas kajian ini ditulis oleh para pegawai yang menguruskan program-program al-Quran tertentu di Darul Quran Singapura. Beberapa pensyarah bidang ulum al-Quran tempatan dan daripada university di Malaysia yang menjalin kerjasama dengan DQS turut menyumbang kajian mereka. Jurnal ini menggambarkan aktiviti pendidikan dan kajian al-Quran yang dijalankan di DQS.  Kami berharap usaha ini dapat menyemarakkan lagi semangat membaca dan mengkaji al-Quran serta membangkitkan jiwa penulisan dalam kalangan masyarakat Singapura terutamanya asatizah di Singapura.

Category:

Description

TOPIK & ABSTRAK

Isu Sanad Dalam Pengajian Qira’at Di Darul Quran Singapura (DQS)
Sakinah Saptu
Artikel ini membincangkan tentang Darul Quran Singapura (DQS) dan isu sanad dalam pengajian Qira’at di institusi tersebut. Perbincangan ini diketengahkan lantaran permasalahan memberikan sanad kepada individu yang tidak mahir dalam bacaan al-Quran. Berikutan dari isu tersebut, terdapat di kalangan pelajar mengikuti pengajian al-Quran dengan tujuan untuk mengumpul sanad dan berbangga dengannya. Justeru timbul persoalan, bagaimana DQS memastikan permasalahan tersebut tidak berlaku dalam pengajiannya dan apakah pula faktor aplikasi sanad dalam pengajian Qira’at di DQS? Oleh itu, artikel ini dihasilkan bagi mengenal pasti pelaksanaan dan faktor aplikasi sanad dalam pengajian Qira’at di Darul Quran Singapura (DQS). Kajian berbentuk kualitatif ini dijalankan menggunakan pendekatan dokumentasi. Data dikumpul menerusi analisis dokumen, temu bual separa struktur dan observasi penyertaan tanpa kawalan. Data pula dianalisis secara deskriptif dan tematik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga faktor aplikasi sanad di DQS, iaitu: mengekalkan silsilah sanad, meneruskan tradisi pembelajaran ulama terdahulu dan melahirkan tenaga pengajar bersanad di Singapura. Dapatan tersebut sekaligus menunjukkan bahawa, isu yang ditimbulkan dalam artikel ini dapat dibendung menerusi tindakan DQS melantik guru bersanad di kalangan pakar al-Quran. Selain dari itu, ia juga dapat diatasi dengan mengambil pelajar yang mahir dalam pembacaan al-Quran dan mengaplikasi kaedah al-Sama’ dan al-‘Ard dalam pengajian.