Khulasah Al-Quran | Al-An’am : 84 – Al-A’raf : 84

ه

Jemaah yang dirahmati Allah,

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Marilah sama-sama kita bersyukur ke hadhrat Allah SWT yang mengurniakan kita peluang untuk
beribadah dan mempertingkatkan taqwa kita kepadaNya.

Alhamdulillah, pada malam Ke-7 Ramadan ini kita dapat berpeluang untuk menghidupkan lagi
ibadah di masjid ini. Semoga segala amalan yang kita lakukan diberkati serta diterima Allah.

Untuk makluman dan penghayatan bersama, in sya Allah ketiga-tiga Imam Terawih kita dan juga
Ustaz Qusairy Thaha Alhafiz akan membacakan Juz Ke-7 dan Ke-8, bermula dari ayat 84 surah
Al-An’am hingga ayat 84 surah Al-A’raf.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Allah SWT Tuhan yang suka kepada keindahan dan kecantikan. Oleh itu, hendaklah kita
memilih pakaian yang cantik dan sesuai bila mengerjakan solat terutamanya di masjid.

2. Hati yang tenang adalah jiwa yang memiliki nur (cahaya) sehingga dapat membezakan
antara perkara yang benar dan salah, perkara yang jujur dan yang bohong, perkara yang
terpuji dan tercela, kerana itulah petunjuk akan datang daripada jiwa seseorang yang
sentiasa melakukan kebaikan.

3. Dunia adalah tempat persinggahan dalam perjalanan menuju akhirat. Ianya bersifat
sementara dan terlalu singkat sehingga kesempatan dan peluang yang ada tidak boleh
ditangguh-tangguhkan. Ketika sihat sebelum datangnya sakit dan waktu lapang sebelum
datangnya waktu sibuk, perlu direbut untuk melakukan amal ibadah serta ketaatan
sebelum datangnya ajal.

4. Akhirat adalah tempat pembalasan atas setiap amal yang dilakukan di dunia. Oleh itu,
lakukanlah persiapan dengan sebaik-baiknya. Bagi mendapatkan kebaikan dalam
beramal, seseorang itu hendaklah menganggap diri seperti orang yang sudah mati, tiada
lagi cinta kepada dunia bahkan cinta dan rindunya hanya untuk kembali ke akhirat,
negeri asalnya yang kekal abadi.

Semoga khulasah ini menambahkan lagi kekhusyukan solat kita ini nanti, insya Allah.
Sekian dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته