Khulasah Al-Quran | Al-Maidah : 41- Al-An’am : 83

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bersyukur ke hadhrat Illahi yang sentiasa menyayangi kita dengan
mengurniakan kita peluang untuk beribadah dan mempertingkatkan taqwa kita kepadaNya.
Alhamdulillah, pada malam Ke-6 Ramadan ini kita masih berpeluang untuk menghidupkan
ibadah kita di rumah Allah ini. Semoga kita dapat menumpukan pada qualiti amal kita Insya
Allah.

Untuk makluman dan penghayatan kita, pada Malam Ke-6 ini, ketiga-tiga imam kita, Ustaz
Mohd Syafiq Bin Jamil Alhafiz, Ustaz Sofyan Baderuddin Alhafiz, Ustaz Makki Wasid Alhafiz
akan membacakan Juz Ke-6, iaitu bermula dari ayat 41 surah Al-Maidah sehinga ayat 83 Surah
Al-An’am.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Taqwa kepada Allah SWT merupakan kewajipan setiap Muslim dan menjadi benteng diri
daripada melakukan kejahatan dan maksiat. Bersegeralah melakukan amal kebaikan
setelah menyedari atau melakukan kejahatan dan maksiat.

2. Setiap larangan Allah SWT mempunyai hikmah tertentu. Pengharaman arak misalnya, ia
boleh merosakkan akal fikiran dan kesihatan manusia. Pengharaman judi pula, ia bukan
sahaja boleh menjejaskan kemampuan kewangan seseorang, tetapi juga boleh melalaikan
seseorang itu daripada menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah SWT dan mereka
yang di bawah tanggungannya.

3. Para ulama’ bersepakat bahawa kebaikan hanya dapat menghapuskan dosa-dosa kecil
sahaja. Adapun dosa besar seperti derhaka kepada ibu bapa, membunuh, memakan riba,
meminum arak dan selainnya tidak akan terhapus kecuali dengan bertaubat.

4. Allah SWT telah mencipta syurga dan neraka di akhirat sebagai destinasi abadi seseorang
hamba. Apabila dia melakukan amal kebaikan, balasan syurga akan menanti dan
sebaliknya jika melakukan amal kejahatan maka nerakalah tempat kembali.

Semoga khulasah ini menambahkan lagi kekhusyukan solat kita ini nanti, insya Allah.

Sekian dan selamat beribadah.
وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته