Khulasah Al-Quran | An-Nisa : 88 – Al- Maidah : 40

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersyukur ke hadhrat Allah SWT yang mengurniakan kita peluang untuk sama-sama
beribadah di Masjid ini. Sesungguhnya, bersyukur kerana diberi nikmat untuk beribadah adalah
setinggi-tinggi bentuk kesyukuran, sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw.
Untuk makluman bersama, pada malam Ke-5 Ramadan ini, ketiga-tiga imam kita akan membaca
Juz ke-5 dan beberapa ayat dari Juz ke 6, iaitu dari ayat 88 surah An-Nisaa’ hingga ke ayat ke 40
surah Al-Maidah.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:
1. Seseorang yang bermusafir akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan
dalam melakukan amalan harian mahupun beribadah. Oleh kerana itu, Islam telah
memberikan rukhsah kepada orang yang bermusafir untuk menjamakkan serta
menqasarkan solatnya. Kita juga digalakkan untuk mendoakan orang yang akan
bermusafir serta berpesan kepada mereka untuk sentiasa bertaqwa dan menjaga amalan
ibadah sepanjang perjalanan tersebut.

2. Umat Islam perlu mengambil berat soal makanan halal dan haram. Sumber makanan
yang haram dapat memberi kesan kepada diri seperti hilangnya keberkatan hidup, hati
menjadi keras, doa tidak dimakbulkan serta akan dibakar dagingnya ke dalam api neraka
kelak. Semoga Allah menjauhkan kita dari perkara-perkara tersebut, allahumma amin.

3. Terdapat beberapa pengajaran dan teladan yang boleh kita dapati daripada kisah Qabil &
Habil.
i. Niat yang suci, didorongi hati yang ikhlas bukan hanya akan dapat membantu kita
untuk meraih penerimaan daripada Allah SWT, ia juga sebenarnya dapat
meningkatkan mutu dan penghayatan ibadah yang kita kerjakan.

ii. Kisah ini juga memberikan kepada kita pengajaran berkaitan dengan jiwa seorang
insan, dan bagaimana jiwa ini perlu sentiasa disuburkan dengan budi pekerti yang
mulia. Sebaliknya, jiwa yang kosong pasti akan dipenuhi dengan sifat-sifat
mazmumah seperti dengki, iri hati, permusuhan, keganasan dan kehancuran.
Semoga pengisian ini menambahkan lagi kekhusyukan dan ketekunan solat kita ini nanti, insya
Allah.
Sekian dan selamat beribadah.
وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته