Khulasah Al-Quran | Ali ‘Imran : 149 – An-Nisaa’ : 87

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jemaah yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, sama-sama kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t yang memberikan kita peluang
untuk beribadah di rumah Allah ini. Semoga kita dapat melalui bulan ini dengan kekuatan dan
keringanan badan, bukan melemahkan dan memenatkan.
Untuk makluman dan penghayatan kita, Malam Ke 4 Ramadan ini, ketiga-tiga imam kita akan
membaca Juz 4 & 5, iaitu daripada ayat 149 surah Aali ‘Imran hingga ayat 87 surah An-Nisaa’.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Sikap lemah-lembut dan kesantunan lebih memberi kesan dalam penyampaian dakwah
kerana ianya boleh menarik dan mendekatkan manusia kepada kebenaran. Sebaliknya
kekasaran akan menyebabkan mereka menjauhkan diri dari menerima dakwah yang
disampaikan.

2. Pengajaran yang dapat diraih daripada peristiwa perang Badar dan Uhud ialah
kebergantungan dan tawakkal orang-orang Muslim hanya kepada Allah. Walaupun
mereka dalam keadaan lemah, jumlah mereka yang sedikit serta kelengkapan alat perang
yang kurang mencukupi, tetapi dengan sifat sabar dan tawakkal kepada Allah SWT,
akhirnya mereka meraih kemenangan.

3. Dalam Islam, jiran mempunyai tanggungjawab di atas jirannya yang lain. Umat Islam
dituntut untuk berbaik-baik antara jiran dengan jiran yang lain bagi menjamin
kedamaian dan keharmonian hidup walaupun dengan jiran yang bukan Islam.

4. Setiap Muslim dituntut untuk bersabar dalam mentaati perintah ketua atau pemimpinnya
sekalipun perintah tersebut berlawanan dengan kehendaknya yang menjurus ke arah
kebaikan. Tetapi, jika perintah tersebut ke arah kebatilan maka tidaklah wajib untuk
mentaatinya.

Semoga khulasah ini menambahkan lagi kekhusyukan dan ketekunan solat kita ini nanti, insya
Allah.
Sekian dan selamat beribadah.
وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته