Khulasah Al-Quran | Al-Baqarah : 153 – 269

Jemaah yang dirahmati Allah,

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadhrat Allah SWT yang telah memberikan kita taufiq dan hidayah-Nya serta mengurniakan kita kekuatan yang membolehkan kita melaksanakan ibadah puasa di hari pertama siang tadi, walhamdulillah.

Untuk makluman dan penghayatan kita, Malam Kedua Ramadan ini, ketiga-tiga imam hafiz kita akan membaca Juz Ke 2 & 3 Al-Quran, iaitu dari ayat 153 hingga ayat 269 Surah Al-Baqarah.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Setiap ujian dan musibah yang datang adalah tanda kasihnya Allah kepada kita agar kita segera sedar dan beristighfar serta kembali ke pangkal jalan. Jika Allah tidak sayangkan kita, sudah tentu Allah akan membiarkan sahaja kita lakukan sesuka hati dan dibiarkan mati dalam keadaan sesat dan kufur.

2. Setiap Mukmin yang sempurna keimanannya akan sentiasa mendapat kebaikan dalam urusannya kerana dia sentiasa bersyukur. Apabila ditimpa kesusahan, dia bersabar dengan ujian tersebut kerana dengan kesabaran itu dapat menaikkan kedudukannya serta dianugerahkan pahala tanpa batasan daripada Allah SWT.

3. Ramadan adalah kesempatan yang amat berharga untuk menggandakan amalan kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan merupakan rahsia antara seorang hamba dengan PenciptaNya. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadahnya pada bulan Ramadan sahaja dengan tidak beramal pada bulan yang lain, tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang dan momentum memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik, InsyaAllah…

4. Kewajipan memberikan nafkah kepada keluarga menjadi tanggungjawab suami. Setiap wang yang dinafkahkan kepada keluarga akan dikira pahala sedekah apabila seseorang itu menunaikan tanggungjawabnya semata-mata kerana Allah SWT. Selain suami menunaikan nafkah berbentuk material, suami juga turut dituntut untuk memberikan nafkah berbentuk ilmu akhirat kepada keluarganya.

Semoga pengisian ini dapat menambahkan lagi kekhusyukan dan tumpuan kepada solat kita ini nanti, insya Allah.

Sekian.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته