Khulasah Al-Quran | Ad-Dhuha – An-Nas

ه

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jemaah sekalian,

Malam ini barisan imam-imam hafiz kita; yang mengimamkan kita dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dengan penuh syahdu akan mengkhatamkan Al-Quran. Mereka akan membaca ayat-ayat bermula dari surah Ad-Dhuha hingga Akhir surah An-Nas.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT juga memberikan kepada setiap hamba akan kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian. Menerusi ujian tersebut Allah SWT akan menilai hakikat keimanan seseorang hamba, adakah dia benar-benar bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang diberikan.

2. Surah al-Fil mengajar kepada kita akan kebesaran kekuasaan Allah SWT yang dapat melakukan apa saja yang Dia kehendaki, baik melalui hukum sebab-akibat yang sudah lumrah mahupun di luar hukum tersebut untuk menghalangi setiap langkah dan tindakan yang menentang aturan-Nya. Hal ini terbukti ketika Allah SWT menghancurkan pasukan bergajah hanya dengan menghantar kawanan burung Ababil.

3. Nabi s.a.w banyak mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga masa. Orang yang tidak mementingkan masa dan tidak menguruskannya dengan baik, pasti akan rugi di dunia dan di Akhirat.

4. Allah SWT amat menyukai akan amalan hamba-Nya yang dilakukan secara ikhlas semata-mata kerana-Nya dan semakin banyak susah payah yang dihadapi, maka semakin bertambahlah ganjaran pahala.

5. Sihir yang dilakukan oleh ahli sihir boleh membawa pelbagai mudarat kepada manusia. Allah yang mengizinkan sihir itu berlaku juga yang boleh menyembuhkannya. Hanya Dia yang berkuasa, bukannya penyihir walau sehebat mana mereka sekalipun.

Semoga khulasah atau ringkasan intisari ayat-ayat Al-Quran ini menambahkan lagi kekhusyukan solat kita ini nanti, insya Allah.

Sekian. Terima kasih dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته