Khulasah Al-Quran | An-Naba’ – Al-Lail

ه

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jemaah sekalian,

Seperti biasa, Masjid Kg Siglap ini mengadakan solat Qiyamullail yang dipimpin oleh ketiga-tiga
Imam Hafiz kita bermula jam 3.30 pagi esok. Juadah bersahur juga kami sediakan. Marilah kita
bersama-sama menghidupkan Ramadan yang hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum ia
meninggalkan kita, insya Allah.

Jemaah sekalian,

Untuk penghayatan kita, malam ini barisan imam-imam hafiz kita akan membaca Juzz 30, iaitu
ayat-ayat dari surah An-Naba’ 1 hingga Akhir Surah Al-Lail.
Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Gambaran secara terperinci tentang dahsyatnya huru hara Hari Kiamat yang berulangkali
diberikan oleh Al-Quran antara lain bertujuan agar kita sentiasa bersiap sedia dan
dengan amalan-amalan soleh sebanyak dan sebaik mungkin untuk di jadikan bekalan
untuk Hari Akhirat kita kelak. Semoga kita dapat terus mengusahakannya, amin

2. Dalam berdakwah kita dilarang memilih kasih. Sampaikanlah kebenaran kepada
pembesar atau masyarakat biasa, yang kaya dan yang miskin agar kita sedar bahawa
orang fakir yang beriman lebih baik daripada orang kaya yang kufur atau durhaka.

3. Dalam keghairahan mencari keuntungan dalam perniagaan, Islam menuntut para
perniaga bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai helah
seperti mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan seumpama ini adalah
dilarang dan tercela dalam Islam.

4. Umat Islam hendaklah merasa takut dengan seksaan Allah SWT yang amat mengerikan
pada Hari Kiamat. Allah SWT menyebut seksaan kepada manusia supaya mereka
sentiasa berwaspada dan menjauhi segala larangan Allah SWT.

Semoga khulasah atau ringkasan intisari ayat-ayat Al-Quran ini menambahkan lagi kekhusyukan
solat kita ini nanti, insya Allah.

Sekian. Terima kasih dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته