Khulasah Al-Quran | Al-Ahzab : 31 – Yasin : 27

ه

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jemaah sekalian,

Malam ini adalah Malam 20 Ramadan dan kita mula memasuki 10 Malam Terakhir Ramadan
yang mana dalam beberapa hadis Rasulullah saw menggesa kita mencari Lailatul Qadar, malam
yang lebih baik dari 1000 bulan di 10 Malam terakhir Ramadan ini. Semoga kita tergolong
dalam golongan orang-orang yang menyahut gesaan baginda ini, insya Allah.
Untuk penghayatan bersama, para imam hafiz kita akan membacakan ayat-ayat dari Juz 22, iaitu
bermula dari ayat 31 surah Al-Ahzab sehingga ayat k- 27 surah Yasin.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Setiap ayat Al-Quran yang diturunkan membawa pengajaran tersendiri. Surah Saba', ayat
14 yang diturunkan menceritakan mengenai kewafatan Nabi Sulaiman sebagai ingatan
terhadap kita bahawa Nabi yang hebat turut tak terlepas menghadapi kematian.

2. Kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis memberi iktibar kepada kita bahawa hidayah itu
adalah milik Allah SWT. Apabila Allah ingin memberikan hidayah kepada hambaNya,
tidak ada seorang pun yang dapat menghalangnya kerana Allah berkuasa membolak-
balikkan hati manusia. Oleh itu sentiasalah kita berdoa dan berusaha untuk berada dalam
hidayah dan petunjukNya sehingga akhir hayat kita, InsyaAllah.

3. Nabi Sulaiman mampu menundukkan Jin, angin bahkan melembutkan tembaga dengan
izin Allah SWT, namun tiada sekelumit riak dan segala kelebihan itu digunakan untuk
melebarluaskan agama Allah SWT.

4. Surah Yasin mengingatkan kita tentang kekuasaan Allah SWT untuk menghidupkan kita
kembali setelah melalui saat kematian dengan hanya satu kata iaitu kun fayakun. Saat itu,
kita akan dibangkitkan kembali daripada kematian dan dipertanggungjawabkan atas
semua perbuatan yang telah dilakukan. Semuanya akan dituntut di depan Allah SWT.
Maka sangat baik untuk surah Yasin dibaca dan menjadi amalan seluruh umat Islam.

Semoga khulasah atau ringkasan intisari ayat-ayat Al-Quran ini menambahkan lagi kekhusyukan
solat kita ini nanti, insya Allah.

Sekian. Terima kasih dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته