Khulasah Al-Quran | Al-Mukminun : 1 – Al-Furqan : 20

ه

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bersyukur ke hadhrat Allah SWT yang mengurniakan kita kekuatan yang
membolehkan kita melaksanakan ibadah puasa di hari ke-15 siang tadi, walhamdulillah.

Terima kasih kami ucapkan kepada para jemaah kerana telah memilih Masjid ini untuk bersama
sekeluarga melaksanakan solat Terawih pada malam yang ke 16 ini. InsyaAllah kita akan
membaca doa qunut dalam pada rakaat terakhir solat witir nanti.

Jemaah sekalian,
Untuk penghayatan bersama, malam ini para imam hafiz kita akan membacakan ayat-ayat dari
juz ke 18 bermula dari awal surah Al-Mukminun’ hingga ayat ke-20 surah Al-Furqan.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Antara hikmah manusia dijadikan dengan sebaik-baik makhluk di dunia adalah :

  • Supaya manusia menginsafi dalam dirinya bahawa Allah SWT menciptakannya
    dalam bentuk yang sempurna.
  • Supaya manusia bersyukur di atas nikmat kurniaan Allah SWT yang telah mencipta
    sebaik-baik kejadian.
  • Membolehkan manusia menjadi khalifah di muka bumi untuk menegakkan Islam dan
    memakmurkan alam.
  • Supaya manusia tunduk kepada perintah Allah SWT dalam segenap aspek
    kehidupan.

2. Maksiat yang masuk melalui mata akan mengaburkan jiwa dan menggelapkan hati. Hati
yang kelabu dek titik dosa daripada pandangan mata akan menghilangkan rasa lazat
dalam ibadat. Jika mata dijaga rapi daripada melihat perkara yang terlarang, jiwa akan
terang dan tenang. Inilah sebabnya mengapa Allah SWT menyuruh agar kita agar
menjaga sebahagian pandangan mata.

3. Ibu bapa dituntut untuk mengajar dan memberi kefahaman kepada anak-anak sejak kecil
mengenai batasan aurat antara lelaki dan perempuan. Termasuk juga memisahkan tempat
tidur mereka sejak mereka berumur tujuh tahun sebagai tanda penghormatan dan adab
sebelum mereka meningkat remaja.

Semoga khulasah atau ringkasan intisari ayat-ayat Al-Quran ini menambahkan lagi kekhusyukan
solat kita ini nanti, insya Allah.

Sekian. Terima kasih dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته