Khulasah Al-Quran | Al-Anbiya : 1- Al-Haj : 78

ه

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Marilah kita bersyukur ke hadhrat Allah SWT yang mengurniakan kita peluang untuk beribadah dan
mempertingkatkan taqwa kita kepadaNya. Alhamdulillah, malam ini, malam 15 Ramadan dan kita
telahpun menjangkau separuh dari bulan Ramadan. Mulai malam ini hingga Malam Terakhir Ramadan,
kita akan membaca Doa Qunut di rakaat terakhir solat Witir nanti, insya Allah.

Jemaah sekalian,

Untuk penghayatan kita, in sya Allah pada malam ini barisan para imam akan membacakan Juz ke-17
iaitu bermula dari awal surah Al-Anbiya’ sehingga ayat 78 surah Al-Haj.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Allah Maha Berkuasa menghidupkan manusia ke muka bumi dan Dialah juga yang akan
mematikan. Sesudah dimatikan, maka akan tiba satu saat manusia akan dihidupkan semula pada
hari kebangkitan untuk dihisab segala amal perbuatan yang telah dilakukan.

2. Setiap ibadah yang dilakukan seperti solat, haji dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan
penuh ketenangan. Hanya ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ketenangan akan
membuahkan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam hatinya.

3. Setiap Muslim yang ingin melaksanakan ibadah haji hendaklah bertaubat daripada dosa dan
meninggalkan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Bagi kesalahan dan dosa yang berkaitan dengan
manusia atau mengambil haknya, hendaklah segera meminta maaf dan mengembalikan hak-hak
mereka sebelum pergi melaksanakan haji agar memperoleh haji yang mabrur.

4. Jangan mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna.
Perbanyakan istighfar dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita
tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang
Muslim itu akan sentiasa teruja untuk melakukan ketaatan.

Sekian. Terima kasih dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته