Khulasah Al-Quran | Al-Kahf : 47 – Taha : 135

ه

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersyukur ke hadhrat Allah SWT yang mengurniakan kita peluang untuk beribadah
dan mempertingkatkan taqwa kita kepadaNya. Alhamdulillah kita terus diberi peluang oleh
Allah untuk menghidupkan Ibadah dengan penuh tekun dan sabar. Semoga kita dapat terus
istiqamah dengan amal ibadah kita.

Jemaah sekalian,

Untuk penghayatan bersama, in sya Allah pada malam yang ke-14 ini, para imam kita akan
membacakan Juz 15 dan beberapa ayat dari Juz ke 16, iaitu dari ayat 47 surah Al-Kahf sehingga
ayat 135 surah Taha.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:
1. Sifat tawadhu atau rendah diri kepada guru adalah akhlak yang mulia dan diperintahkan
agama, tidak kira sama ada guru itu lebih muda mahupun berlainan agama dari kita.
Menghormati mereka menjadikan ilmu yang dipelajari itu diberkati Allah.

2. Maryam binti Imran, ibu Nabi Isa 'alaihissalam seorang wanita solehah yang dipuji Allah
kerana menjaga kesucian dirinya dan sentiasa mentaati Allah. Kisah hidupnya menjadi
pelajaran yang berguna buat kita semua dalam menjaga batas pergaulan dan kesucian diri
dari melanggar perkara-perkara yang dilarang Allah SWT. Semoga kita mengambil
iktibar darinya, insyaAllah.

3. Seksaan neraka adalah bertahap-tahap mengikut amalan yang dilakukan oleh golongan
kafir dan berdosa. Oleh itu, umat Islam disuruh supaya menjauhi perbuatan-perbuatan
jahat untuk mengelakkan diri daripada seksaan Allah SWT.

4. Selagi kita diberi peluang hidup dan masih lagi dipanjangkan umur oleh Allah SWT,
selagi itulah kita harus menginsafi segala dosa yang telah dilakukan. Telah menjadi fitrah
kelahiran manusia memang pernah tidak lari daripada melakukan dosa dan Allah SWT
itu maha pengampun lagi menerima taubat hamba-Nya.

Sekian. Terima kasih dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته