Khulasah Al-Quran | An-Nahl : 80 – Al-Kahf : 45

ه

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersyukur ke hadhrat Allah SWT yang mengurniakan kita peluang untuk beribadah
dan mempertingkatkan taqwa kita kepadaNya. Alhamdulillah, malam ini, kita berada di malam
ke -13 Ramadan dan berpeluang untuk menghidupkan ibadah di rumah Allah ini.

Jemaah sekalian,

Sesungguhnya, bersyukur kerana diberi nikmat untuk beribadah adalah semulia-mulia bentuk
kesyukuran, sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw dan yang telah diperintahkan
Allah menerusi firman-Nya di surah Al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud: “Ya Tuhanku,
tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan
kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai, berilah
kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku
bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”.

Untuk penghayatan bersama, in sya Allah pada malam ini, barisan para imam kita akan
membacakan Juz ke-14 & 15 iaitu ayat-ayat bermula daripada ayat ke-80 surah An-Nahl
sehingga ayat 45 surah Al-Kahf.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Tugas pendakwah merupakan tugas yang sangat mulia kerana mereka melaksanakan tugas
rasul dan nabi. Namun dakwah hendaklah disampaikan dengan penuh hikmah dan bijaksana
supaya orang yang didakwah dapat menerima seruan dengan penuh kefahaman dan kerelaan.

2. Allah SWT abadikan kisah Ashabul Kahfi sebagai kisah teladan terutama buat generasi muda
agar mereka mengambil pengajaran daripadanya. Apatah lagi dengan dunia hari ini yang
penuh dengan fitnah dan godaan. Justeru itu, perlunya kita mempertahankan iman dalam apa
jua situasi sekalipun kerana imanlah yang bakal menyelamatkan kita dari godaan syaitan
yang menipu dan melalaikan.

3. Orang-orang yang bertakwa dan beramal soleh dijanjikan Allah SWT dengan syurga yang
penuh dengan kenikmatan yang kekal abadi. Bagi mendapatkan ganjaran tersebut, beramallah
bersungguh-sungguh di dunia ini dan janganlah kita menurut jejak langkah syaitan yang
boleh menjerumuskan kita ke neraka Allah SWT.

4. Kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan kelak ianya akan ditinggalkan. Selagi hayat
masih ada, carilah bekalan akhirat sebanyak mungkin dan janganlah kita mudah tertipu dan
terpedaya dengan kehidupan dunia yang sementara ini.

Sekian. Terima kasih dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته