Khulasah Al-Quran | Ar-Ra’d : 25 – An-Nahl : 79

ه

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersyukur ke hadhrat Allah SWT yang mengurniakan kita peluang untuk beribadah
dan mempertingkatkan taqwa kita kepadaNya. Alhamdulillah, malam ini, kita berada di malam
ke -12 Ramadan dan berpeluang untuk menghidupkan Ibadah di Rumah Allah ini.

Jemaah sekalian,

Sesungguhnya, bersyukur kerana diberi nikmat untuk beribadah adalah semulia-mulia bentuk
kesyukuran, sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw dan seperti yang diperintahkan
Allah menerusi firman-Nya di surah Al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud: “Ya Tuhanku,
tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan
kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai, berilah
kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku
bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”.

Untuk penghayatan kita, malam ini barisan para imam kita akan membacakan ayat-ayat bermula
dari surah Ar-Ra’d ayat 25 hingga ayat 79 surah An-Nahl.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Hakikat kekayaan bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan sebenarnya adalah
kekayaan jiwa, iaitu orang yang merasa cukup dengan pemberian kepadanya (qona’ah),
redha dan tidak tamak dalam mencari harta.

2. Jadikanlah diri kita seorang yang kaya hati iaitu dengan akhlak terpuji dalam setiap
perlakuan sama ada yang berhubung dengan Allah SWT, sesama manusia dan makhluk
yang lain.

3. Umat Islam dituntut supaya bertanya sesuatu yang tidak diketahui mengenai hukum-
hukum syarak kepada mereka yang lebih mengetahui, lebih-lebih lagi perkara yang boleh
memberi kebaikan di dunia dan juga di akhirat.

4. Setiap manusia akan mendapat ganjaran setimpal dengan amalnya, samada yang baik
atau yang buruk. Oleh itu, bersegeralah kita memperbanyakkan berbuat amal kebaikan
yang akan dijadikan bekalan di akhirat kelak. Bersegeralah kerana kematian boleh datang
menemui kita pada bila-bila masa sahaja.

Sekian. Terima kasih dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته