Khulasah Al-Quran | Hud : 69 – Ar-Ra’d : 24

ه

Jemaah yang dirahmati Allah,

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Marilah kita bersyukur ke hadhrat Allah SWT yang mengurniakan kita peluang untuk beribadah
dan mempertingkatkan taqwa kita kepadaNya. Alhamdulillah, malam ini, kita berada di malam
ke -11 Ramadan dan masih berpeluang untuk menghidupkan syi’ar Ramadhan di Rumah Allah
Masjid Kg Siglap, Darul Quran Singapura ini.

Jemaah sekalian,

Sesungguhnya, bersyukur kerana diberi nikmat untuk beribadah adalah semulia-mulia bentuk kesyukuran, sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw dan seperti yang diperintahkan Allah menerusi firman-Nya di surah Al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud: “Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai, berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”.

Untuk penghayatan kita, malam ini barisan imam-imam kita akan membaca bermula dari ayat ke-
69 surah Hud hingga ayat 24 surah Ar-Ra’d.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Hati yang dekat dengan Allah SWT, lidahnya akan sentiasa basah dengan zikrullah. Bahkan menyebut-nyebut namaNya, membesarkanNya dan mengingatiNya juga akan dapat menyuburkan dan menghidupkan hati. Orang yang hatinya hidup dan subur mengingatiNya akan merasakan ketenangan yang hakiki.

2. Ketika kita merasakan ujian datang menimpa diri terlalu berat, lihatlah kepada manusia lain yang diuji dengan ujian yang mungkin jauh lebih berat daripada kita. Maka pada ketika itu, kita pasti akan bersyukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita.

3. Kita perlu berhati-hati apabila ingin memuat naik gambar atau menceritakan tentang apa sahaja kelebihan diri kita terutama di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Ini penting bagi mengelakkan diri daripada timbulnya perasaan hasad dengki yang berpunca daripada sikap kita yang suka menunjuk-nunjuk dan membanggakan diri.

Sekian. Terima kasih dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته