Khulasah Al-Quran | At-Taubah : 123 – Hud : 68

ه

Jemaah yang dirahmati Allah,

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Marilah kita bersyukur ke hadhrat Allah SWT yang mengurniakan kita peluang untuk beribadah
dan mempertingkatkan taqwa kita kepadaNya. Alhamdulillah, kita telah menjangkau 1/3 bulan
Ramadan pada malam yang ke -10. Semoga ibadah kita semakin mantap dan diterma Allah.

Untuk makluman dan penghayatan kita, in sya Allah para imam huffaz kita Ustaz Md Syafiq
Jamil Alhafiz, Imam Sufyan Baderuddin Balli Alhafiz dan Imam Makky Wasid Alhafiz akan
membacakan ayat-ayat dari surah At-Taubah, iaitu bermula dari ayat 123 hingga ayat 68 surah
Hud.

Antara pengajaran yang boleh kita raih menerusi ayat-ayat tersebut adalah:

1. Melakukan kebaikan akan menyebabkan hati menjadi tenang, manakala melakukan
perkara dosa pula akan menggementarkan hati. Oleh kerana itu, apabila seseorang
melakukan dosa, hati akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan, berdebar-debar,
resah gelisah, cemas, bimbang dilihat atau diketahui oleh orang lain.

2. Kisah Nabi Nuh dan Nabi Musa a.s mengingatkan kita betapa para rasul menghadapi
pelbagai cabaran dan tribulasi dalam menyampaikan agama Allah SWT dan mengajak
manusia kepada kebaikan. Maka sewajarnyalah kita sentiasa bersabar dan tidak mudah
berputus asa dalam menyebarkan rahmah kepada seluruh manusia.
3. Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada
ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan senjata atau benteng kepada seseorang
di dalam menghadapi hidup di dunia ini dan menjadi pengukur darjat keimanan
seseorang.

4. Perbandingan antara orang kafir dan beriman adalah seperti orang yang buta dan pekak
dengan orang yang dapat melihat dan mendegar. Maka kita perlu peka dengan teguran
dan peringatan yang terdapat dalam Al-Quran agar dapat dijadikan sebagai petunjuk dan
pedoman buat kesejahteraan dan keharmonian hidup kita, insya Allah.

Semoga pengisian dan perkongsian ini dapat menambahkan lagi penghayatan dalam solat kita
nanti, insya Allah.

Sekian. Terima kasih dan selamat beribadah.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته