Topik 1: Isu Sanad Dalam Pengajian Qira’at Di Darul Quran Singapura (DQS)
Sakinah Saptu
Artikel ini membincangkan tentang Darul Quran Singapura (DQS) dan isu sanad dalam pengajian Qira’at di institusi tersebut. Perbincangan ini diketengahkan lantaran permasalahan memberikan sanad kepada individu yang tidak mahir dalam bacaan al-Quran. Berikutan dari isu tersebut, terdapat di kalangan pelajar mengikuti pengajian al-Quran dengan tujuan untuk mengumpul sanad dan berbangga dengannya. Justeru timbul persoalan, bagaimana DQS memastikan permasalahan tersebut tidak berlaku dalam pengajiannya dan apakah pula faktor aplikasi sanad dalam pengajian Qira’at di DQS? Oleh itu, artikel ini dihasilkan bagi mengenal pasti pelaksanaan dan faktor aplikasi sanad dalam pengajian Qira’at di Darul Quran Singapura (DQS). Kajian berbentuk kualitatif ini dijalankan menggunakan pendekatan dokumentasi. Data dikumpul menerusi analisis dokumen, temu bual separa struktur dan observasi penyertaan tanpa kawalan. Data pula dianalisis secara deskriptif dan tematik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga faktor aplikasi sanad di DQS, iaitu: mengekalkan silsilah sanad, meneruskan tradisi pembelajaran ulama terdahulu dan melahirkan tenaga pengajar bersanad di Singapura. Dapatan tersebut sekaligus menunjukkan bahawa, isu yang ditimbulkan dalam artikel ini dapat dibendung menerusi tindakan DQS melantik guru bersanad di kalangan pakar al-Quran. Selain dari itu, ia juga dapat diatasi dengan mengambil pelajar yang mahir dalam pembacaan al-Quran dan mengaplikasi kaedah al-Sama’ dan al-‘Ard dalam pengajian.

Topik 3: Perbezaan Rasm Dan Dhobt Pada Penulisan Huruf Hamzah Dalam Rasm Uthmani
Abd Rahman Abd Ghani
Kaedah penulisan huruf Hamzah merupakan salah satu dari enam kaedah penulisan Rasm Uthmani mengikut pandangan jumhur ulama. Ia sangat perlu difahami dengan sebaiknya oleh semua agar tidak disalah anggap dan disamakan dengan kaedah perletakan dhobt. Selain untuk membezakan antara keduanya, kajian ini juga bertujuan untuk merungkaikan permasalahan masyarakat yang kurang memahami mengenai perbezaan antara rasm dan dhobt dalam penulisan huruf Hamzah. Kajian ini menggunakan sepenuhnya metode kualitatif iaitu dengan mendapatkan dan menganalisis buku-buku daripada sumber-sumber primer dan sekunder yang berkaitan dengan rasm dan dhobt al-Quran. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang begitu ketara antara rasm dan dhobt pada huruf Hamzah ini dan ia sememangnya boleh menimbulkan keraguan dalam memahaminya. Artikal ini akan dapat menjelaskan kepada masyarat mengenai kaedah sebenar penulisan huruf Hamzah dalam Rasm Uthmani dan seterusnya mereka akan dapat membezakan antara rasm dan dhobt huruf Hamzah yang sebenar.

Topik 5: Isu-Isu Sosio-Agama Dalam Khutbah Ahmad Sonhadji Mohamad Tahun 1971-1980
Mohamed Qusairy Thaha
Wan Nasyrudin bin Wan Abdullah
Ahmad Sonhadji Mohamad adalah figura tafsir di Singapura. Melalui Tafsir ‘Abr al-Athir yang telah dihasilkan selama 24 tahun, beliau telah memperoleh sambutan dan respon yang sangat luar biasa di kalangan masyarakat Singapura. Bahkan beliau dianggap sebagai ikon tafsir Singapura. Sumbangan luar biasa beliau tidak terhenti kepada pengajaran dan penulisan tafsir sahaja bahkan terdapat karya-karya lain yang dihasilkan. Persoalannya adalah mengapa karya-karya beliau yang lain kurang diberikan perhatian oleh pengkaji. Selain karya agung beliau bertajuk Tafsir ‘Abr al-Athir, terdapat sekurang-kurangnya 112 koleksi manuskrip khutbah Jawi yang dihasilkan dari tahun 1971 hingga 1980 dan disampaikan di Singapura. Kesemua manuskrip ini masih utuh dalam simpanan Arkib Perbadanan Perpustakaan Singapura (NLB) dan dalam simpanan ahli keluarga Ustaz Ahmad Sonhadji. Bermula dengan proses transliterasi, khutbah ini kemudian diklasifikasikan mengikut kesesuaian tema. Kajian ini berbentuk kualitatif yang menggunakan pendekatan analisis kandungan teks. Data-data dikumpul secara analisis teks, kemudian dianalisis secara induktif, komparatif dan subjektif. Kajian ini menganalisis isu-isu sosio-agama yang terdapat dalam manuskrip khutbah Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad dan membuktikan bahawa terdapat usaha memberikan tafsiran al-Quran sesuai dengan konteks sosio-agama di Singapura. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat empat isu sosio-agama iaitu Al-Quran dan Hubungan dengan Tuhan, Ekonomi, Kerjaya dan Pendidikan, Adab, Etika dan Integriti dan Wanita, Kekeluargaan, Kemanusiaan dan Kemasyarakatan yang diangkat oleh Ustaz Ahmad Sonhadji dalam khutbahnya. Kertas kerja ini hanya akan membincangkan isu-isu dalam tema al-Quran dan hubungan dengan Tuhan sahaja. Gagasan idea dan panduan yang disampaikan melalui khutbah beliau khususnya aspek ekonomi, kerjaya dan pendidikan telah membantu masyarakat Singapura melalui cabaran kehidupan dengan bijak, tabah dan berdaya tahan. Ia masih relevan untuk dijadikan sebagai panduan masyarakat semasa dalam menanggapi isu-isu sosio-agama. Implikasi yang diharapkan adalah agar manuskrip khutbah ini dicetak semula dalam bentuk karya agung yang menjadi bahan rujukan khatib, pengkaji sosial dan masyarakat umum. Ia juga membuktikan bahawa Ustaz Ahmad Sonhadji bukan sahaja dikenali sebagai seorang mufasssir al-Quran di kawasan Nusantara, bahkan boleh diangkat sebagai seorang reformis sosial yang mencadangkan jalan keluar bagi permasalahan yang dihadapi masyarakat Singapura.

Topik 7: Pelaksanaan Program Cendekiawan Muda Tahfiz & Tadabbur (A*YTTS) Dalam Kalangan Pelajar Madrasah Singapura
Noor’atiqah Ibrahim
Sejak tahun 2016, Darul Quran Singapura telah menawarkan program baharu yang digelar Cendekiawan Muda Tahfiz & Tadabbur (A*YTTS) kepada dua buah madrasah di Singapura. Di samping mereka perlu menjalani persekolahan harian mereka seperti biasa, pelajar-pelajar madrasah ini turut menyahut cabaran untuk menghafal al-Quran di luar waktu pembelajaran. Kertas kerja ini dilakukan dengan tujuan untuk meninjau sejarah dan perkembangan pelaksanaan program A*YTTS dalam kalangan pelajar madrasah Singapura. Selain itu, penulis juga akan menganalisis pencapaian target hafalan para pelajar serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh tenaga pengajar mereka. Kajian berbentuk kualitatif ini turut menggunakan pendekatan analisis dokumen, observasi dan soal selidik yang melibatkan responden di kalangan tenaga pengajar A*YTTS. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pencapaian para pelajar masih berada pada tahap yang seimbang walaupun terdapat beberapa faktor seperti masa, kemampuan dan minat yang menjadi penghalang kepada mereka untuk menghafal al-Quran dengan baik. Implikasi kajian merumuskan bahawa program A*YTTS ini memerlukan kepada perubahan yang kecil antaranya adalah dari segi penambahan waktu pembelajaran dan penyusunan semula sukatan hafalan mereka. Di akhir kajian, penulis mengemukakan beberapa cadangan dan saranan yang menyentuh berkaitan dengan program A*YTTS dan pengajian tahfiz secara amnya.
