Jadual Bacaan Al-Quran Di Dalam Solat Untuk Bulan Januari 2017

jba-jan-2017

 

 

Minggu Pertama

 

Pengajaran ayat (Al-Baqarah ayat 1-61) :

 

Allah SWT membahagikan manusia kepada tiga golongan iaitu:

 

  1. Mukmin (ayat 2-5)

 

Golongan Mukmin yang dinyatakan di dalam surah ini adalah Mukmin yang bertakwa. Orang-orang yang bertakwa akan sentiasa berwaspada dan berhati-hati daripada melakukan maksiat kerana mereka sangat takut akan kemurkaan Allah SWT menimpa ke atas diri mereka. Mereka juga akan menjadikan Al-Quran itu sebagai panduan hidup bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dann akhirat. Terdapat lima tanda ciri-ciri orang yang bertakwa iaitu:

 

  • Percaya kepada perkara ghaib
  • Mendirikan solat
  • Menafkahkan harta
  • Beriman kepada Allah
  • Yakin kepada Hari Akhirat

 

  1. Kafir (ayat 6-7)

 

Golongan kafir ini adalah golongan yang jauh daripada petunjuk Allah SWT. Perasaan sombong, ego dan jahil membuatkan mereka itu ingkar kepada Allah SWT dan berpaling kepada kebenaran. Golongan kafir ini juga terbahagi kepada dua kelompok iaitu:

 

  • Ahli Kitab

Mereka ini adalah kaum Yahudi dan Nasrani. Kaum Yahudi menerima kitab Taurat melalui Nabi Musa a.s, manakala kaum Nasrani menerima kitab Injil yang disampaikan oleh Nabi Isa a.s.

 

  • Kaum Musyrikin

Mereka adalah kelompok kafir yang tidak menerima sebarang kitab daripada Allah SWT, namun kelompok ini kufur kepada Allah SWT dari sudut amalan dan kepercayaan syirik yang diamalkan oleh sebahagian mereka. Mereka ini termasuk di dalam golongan penyembah berhala dan penyembah api.

 

  1. Munafik (ayat 8-20)

 

Golongan munafik ini ialah orang yang menyembunyikan kekafiran di dalam hati dan menzahirkan keimanan mereka melalui lidah mereka. Golongan ini sangat merbahaya kerana mereka ini sering menonjolkan kebaikan di hadapan orang Mukmin, tetapi apabila bersama dengan kumpulan mereka, mereka akan mengejek serta mempersenda golongan Mukmin. Hati mereka berpenyakit, merasai dirinya baik, degil dan sombong, malas menunaikan solat, tidak mahu berhukum dengan hokum Allah SWT dan lain-lain lagi. Oleh itu, kita perlulah mengelakkan diri daripada terjebak berkawan ataupun bersifat dengan mereka.

Wallahua’lam.

 

 

 

Minggu Kedua & Ketiga

 

 

Pengajaran ayat (Al-Baqarah ayat 62-101)

 

  1. Kisah penyembelihan Lembu betina di dalam surah ini menerangkan kepada kita betapa buruknya adab kaum Bani Israil terhadap nabi Musa a.s, melengah-lengahkan arahan dan suruhan Allah dan nabinya di dalam mencari dan menyembelih seekor lembu betina. Mereka  mencipta pelbagai alasan dan saoalan yang akhirnya menyulitkan mereka untuk mencari lembu yang diperintahkan.

 

Oleh itu, janganlah kita mempersoalkan serta mempertikaikan terhadap segala suruhan dan larangan Allah SWT kerana Allah maha mengetahui terhadap apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Setiap amal kebajikan yang kita lakukan pasti ada balasannya dan ganjarannya. Buatlah ibadah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran.

 

  1. Sebagai umat nabi Muhammad s.a.w, kita hendaklah menjaga adab dengan baginda tanpa mengikut adab yang ditunjukkan oleh kaum Bani Israil terhadap nabi mereka. Antara contoh buruknya adab kita kepada baginda adalah mengabaikan suruhan dan larangannya, tidak mengikuti serta mencontohi akhlak nabi s.a.w, memperlekehkan serta mempermainkan sunnah baginda dan sebagainya.

 

 

Minggu Keempat

 

Pengajaran ayat (Al-Baqarah ayat 102-141)

 

  1. Kita perlu meyakini bahawa Nabi Sulaiman a.s bukanlah ahli sihir seperti yang didakwa oleh Bani Israil. Bahkan beliau adalah seorang rasul dan nabi yang mengajak manusia mengimani Allah SWT sebagai Tuhan.

 

  1. Kita perlu bersikap merendah diri dan bersyukur sekiranya menerima nikmat dan kelebihan daripada Allah SWT. Nabi Sulaiman a.s walaupun dikurniakan pelbagai kelebihan, ia tidak menjadikan dirinya sombong, malah takwa dan rendah dirinya kepada Allah SWT semakin bertambah.

 

  1. Mempelajari Ilmu sihir dan mengamalkannya termasuk dalam kategori dosa-dosa besar yang akan memusnahkan segala amalan baik seseorang.

 

  1. Allah SWT berhak membuat atau memansukhkan sesuatu hukum serta menggantikan dengan hukum yang lain kerana Allah Maha Bijaksana di dalam mengatur hidup hamba-hambaNya. Selain itu ia adalah bertujuan untuk memberikan keringanan kepada kita di dalam melaksanakan hukum-hukumNya.