Tazkirah Ringkas : Berlaku Adil Terhadap Alam Sekitar

 

Berlaku Adil Terhadap Alam Sekitar

 

Islam amat menitikberatkan aspek penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar bagi tujuan mewujudkan suasana yang harmoni, selesa dan seimbang. Kita perlu memahami bahawa segala bentuk atau usaha memelihara dan membaik pulih alam sekitar adalah sama seperti tanggungjawab kita menjaga agama.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat keapda orang-orang yang berbuat baik”

(Surah Al-A’raf ayat 56)

 

Saudara,

Islam menganjurkan manusia supaya tidak melakukan kerosakan ke atas alam sekitar. Ini adalah kerana bumi ini bukanlah milik kita secara mutlak, tetapi ia adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada kita supaya ianya dapat dijaga dan diurus dengan baik. Oleh kerana itu, kita dilarang untuk melakukan sebarang kerosakan ke atas alam sekitar dengan sewenang-wenangnya kerana segala perbuatan yang boleh merosakkan alam sekitar adalah sama seperti kita menafikan sifat adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sifat ini adalah merupakan perintah Allah SWT yang mesti kita laksanakan.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan (ihsan), memberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pengajaran”

(Surah An-Nahl ayat 90)

 

Antara contoh melakukan kerosakan alam sekitar di negara Singapura ini khususnya adalah seperti membuang sampah secara sembarangan di jalanan, kawasan perumahaman HDB, shopping mall dan sebagainya tanpa mengikut saluran yang betul sehingga boleh mengotorkan kawasan-kawasan awam. Secara tidak langsung, ia boleh merosakkan imej negara kita yang tercinta ini. Walhal di dalam Islam, kita dituntut untuk menjaga kebersihan kerana ia adalah merupakan satu amalan yang amat dicintai oleh Allah SWT.

 

Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah senang kepada orang yang bertaubat dan senang kepada orang yang membersihkan diri.”

(Surah Al-Baqarah ayat 222)

 

Selain itu saudara, kita hendaklah menjaga alam sekitar ini dengan tidak merokok secara sembarangan. Selain ianya boleh membahayakan kesihatan diri, merokok juga boleh mencemarkan persekitaran kerana asap rokok boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Bukan hanya mereka yang merokok sahaja yang mendapat keburukan, malah orang sekeliling juga turut merasa kesukaran untuk mendapatkan udara yang bersih dan segar. Tambahan lagi, puntung rokok yang dibuang di merata-rata tempat boleh mencemarkan alam sekitar seperti mengakibatkan longkang tersumbat yang akhirnya boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes dan sebagainya.

Justeru itu, cintailah negara kita ini dengan menjaga dan memelihara alam sekitar dengan baik tanpa mencemarkannya walaupun sedikit. Mutiara kata-kata hikmah Arab pernah menyifatkan kepada kita bahawa:

cintakan negara adalah sebahagian daripada iman.”

 

Sekian

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Imam

Tazkirah Jumaat 8 Disember 2017 / 19 Rabiulakhir 1439H